Berita

Warga PL perlu berganding bahu, demi kebajikan rakyat dan pembangunan Labuan

SIMSUDIN (lima dari kiri) bersama ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan yang diketuai oleh Datuk Bashir Alias.
- Diterbit 14 Julai 2023 8:02 AM MYT

WARGA Pengurusan Perbadanan Labuan diseru agar berganding bahu sebagai sebuah pasukan yang mantap dan memperkukuhkan organisasi demi kepentingan kebajikan rakyat dan pembangunan di pulau itu.

Menurut Pengerusi Perbadanan Labuan, Senator Tan Sri Anifah Aman, Labuan mempunyai banyak potensi untuk dibangunkan untuk menarik pelaburan asing.

Katanya, Labuan juga dilihat berpotensi menjadi ‘Singapura kedua’ melalui perniagaan antarabangsa dengan sektor kewangan, industri minyak dan gas serta maritim yang berkembang pesat.

“Dengan pelaburan-pelaburan yang masuk, kita akan membuka banyak peluang pekerjaan. Pendapatan orang kita akan meningkat dan seterusnya meningkatkan ‘purchasing power’ mereka, sekaligus dapat mengwujudkan kitaran ekonomi domestik yang baik.

“Hasil daripada usaha ini ini, Kita juga boleh mempercepatkan pembinaan kemudahan utiliti yang baik seperti bekalan air dan elektrik serta jaringan jalan raya dan memberikan perkhidmatan sebagai destinasi ekonomi berdaya maju serantau pada masa hadapan.

” Hal ini dapat direalisasikan jika kita semua berkerjasama dalam satu kumpulan merentasi semua agensi atau jabatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek pada Majlis Penyampaian Watikah Anggota Perbadanan Labuan dan Anggota Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata Rancangan Struktur Labuan 2040 dan Rancangan Tempatan Labuan 2040 yang ketika ini di peringkat draf akhir adalah antara usaha Rancangan Pemajuan yang memastikan hala tuju pembangunan Labuan lebih mapan dan berdaya saing.

” Pada masa yang sama, kita berharap bahawa Pelan Strategik (Pengurusan) Perbadanan Labuan dan Pelan Strategik Pendigitalan Perbadanan Labuan yang direncanakan dan ditambahbaik setiap 5 tahun adalah menjadi tindakan sokongan untuk menggerakkan kelancaran rancangan pemajuan pulau ini,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Seri Rosidah Jaafar dilantik semula sebagai Anggota Perbadanan Labuan dan Datuk Seri Simon Liew Shan Wen turut dilantik sebagai Anggota Perbadanan Labuan.

Manakala Majlis Penasihat Perbadanan Labuan baharu yang diketuai oleh Datuk Bashir Alias sebagai Pengerusi turut dianggotai oleh Datuk Wong Kii Yii, Nuriha Yakup, Andy Herrdiwady Jaa’far, Niswati Tarji, Tan Soon Kiat dan Seah Kiat Leong. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas