Berita

Hidup syiar korban, biar tampak jelas dalam masyarakat ketika Aidiladha

IBADAH korban tidak harus disembunyikan. - Gambar hiasan
- Diterbit 30 Jun 2023 5:20 AM MYT

SEBAGAI orang Islam terdapat pelbagai tuntutan taklif syarak yang dilihat berdasarkan kategori dan sudut-sudut berkaitan di mana kita perlu sentiasa bersedia untuk berkorban ke arah perkara tersebut.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah, dalam musim Aidiladha, pengorbanan yang dilakukan adalah dengan mengeluarkan sedikit belanja yang ada untuk melaksanakan ibadah korban.

“Dengan melaksanakan ibadah tersebut, kita dapat memberi bantuan kepada pihak fakir miskin dalam bentuk agihan daging-daging
berkenaan. Kalau dilihat dari sudut bagaimana syarak menggalakkan seseorang itu melaksanakan ibadat korban, pasti kita berlumba-lumba untuk melaksanakannya.

“Pahala yang diterima bukan semata-mata melakukan ibadah korban bahkan, penyembelihan dan hasil yang diagihkan turut menerima ganjaran pahala lain yang berbeza-beza.

“Ini bermakna semakin banyak bersedekah maka akan lebih lagi ganjaran yang diraih oleh mereka yang melakukan ibadah korban,” ujar beliau kepada Wilayahku.

Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah

Tambah beliau, ibadah ini merupakan sunat muakad yang sangat digalakkan untuk dilakukan terutama bagi yang berkemampuan sekali gus membentuk peribadi ikhlas, belas kasihan dan tolong menolong.

“Jika dalam satu keluarga salah seorang ahlinya melakukan ibadah tersebut, maka dikira satu keluarga telah melaksanakannya. Jadi, syiar korban itu perlu dihidupkan dalam masyarakat supaya nampak jelas apabila datangnya musim Aidiladha.

“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari al-Nahr (Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan
darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan mendapat reda Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan ibadah berkorban), Riwayat Tirmizi.

“Hadis ini menunjukkan besarnya fadilat korban ini yang mana kemuncaknya adalah ibadah tersebut dijalankan untuk mencapai keredaan Allah SWT dan ketakwaan,” jelas beliau.

Mengulas lanjut tentang erti pengorbanan, beliau berkata aspek tersebut amat luas dan sudah tentu pengorbanan yang tinggi apabila ia melibatkan perjuangan bagi meninggikan agama Allah SWT.

“Tuntutan taklif syarak ini akan melihat kepada kategori tuntuan berkenaan kalau melibatkan jihad tentu sekali ia melibatkan pengorbanan nyawa untuk berjuang di jalan Allah SWT.

“Begitu juga sebaliknya, jika tuntuan berkaitan dengan ibadah solat dan puasa, jadi kita perlu berkorban dari sudut masa, perlu berlawan dengan nafsu untuk
melaksanakan ibadah berkenaan,” ujar beliau. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas