Berita

Impian Awie, Siti kolaborasi dalam lagu duet tercapai

- Diterbit 30 Jun 2023 3:44 AM MYT

PELUANG berharga buat vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie apabila bakal merakamkan sebuah lagu duet bersama penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata peluang berkolaborasi bersama Siti menerusi lagu duet tersebut adalah antara impian yang sudah lama dinanti-nantikan olehnya.

“Peluang menghasilkan lagu duet bersama Siti adalah satu penghargaan buat diri saya malah sebenarnya ini adalah cita-cita kami berdua untuk mengadakan lagu duet bersama.

“Saya sudah dengar lagu ini, sangat sedap. Ia bergenre joget kontemporari, lagu irama Malaysia yang lebih moden,” katanya kepada Wilayahku pada Majlis Perasmian dan Sidang Media Kuala Lumpur Bike Show 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), baru-baru ini.

Menurut Awie, Siti Nurhaliza merupakan seorang penyanyi yang mempunyai identiti tersendiri selain memiliki alunan suara yang cukup merdu, jelas dan sedap didengari.

“Saya belum sempat lagi bekerjasama penuh dengan Siti. Kalau di mana-mana konsert sudah dua kali lah bekerjasama tetapi untuk sebuah lagu, ini adalah kali pertama tetapi saya rasa dia seorang yang mudah dan tidak cerewet. Datang studio untuk praktis, tanya apa lebih kurang, record dan selesai.

“Begitu juga saya, bila saya pergi ke tempat dia, saya selesa untuk bekerjasama dan rakam lagu sehingga selesai.

“Justeru itu, saya harap lagu ini boleh diterima dan menjadi siulan oleh semua masyarakat dan sentiasa didengari di mana-mana tidak kira radio mahupun majlis-majlis,” kongsinya.

Sementara itu, Awie juga bakal mengadakan konsert di WTCKL sempena Program Kuala Lumpur Bike Show 2023 (KLBS’23) yang akan diadakan pada 24 sehingga 27 Ogos nanti.

“Kami dijemput untuk membuat persembahan bagi Program KLBS’23 di mana saya lihat program ini satu perkembangan sihat yang menghimpunkan seluruh
penggiat industri permotoran untuk berkongsi sesuatu kepada orang ramai.

“Penggiat motor juga sering dicemuh dengan pelbagai perspektif daripada masyarakat jadi saya rasa ini adalah masa terbaik untuk mengubah tanggapan mereka terhadap permotoran.

“Kami diberi peruntukan satu jam setengah untuk menghiburkan pengunjung yang hadir. Kita akan cuba buat sesuatu yang menarik dan insya-Allah mungkin 18 hingga 20 lagu kita boleh bawa.

“Datanglah beramai-ramai memeriahkan program ini dan anda juga boleh mendapat tiket penjualan konsert Wings yang akan mula dibuka bermula 1 Julai ini melalui laman web www.kualalumpurbikeshow.com,” katanya.– WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas