Berita

Kolej Vokasional, pemain industri bakal lahir tenaga kerja kompetitif

BARISAN Pengarah Kolej Vokasional Zon Sabah dan Labuan bersama wakil-wakil syarikat industri di Labuan selepas NoU bersama pihak industri Palm Beach Resort & Spa Labuan dan Dorsett Grand Labuan.
- Diterbit 25 Jun 2023 1:00 AM MYT

BAGI melahirkan tenaga ­kerja yang kompetitif dan berdaya ­saing, Kolej Vokasional (KV) Zon Sabah Dan Labuan giat menjalinkan ­kerjasama dengan ­pelbagai pihak industri.

Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Yusup Mohamad ­berkata ia selaras dengan usaha ­kerajaan dalam berhadapan dengan Revolusi Perindustrian 4.0.

“Usaha awal kerajaan ­mengarusperdanakan ­pendidikan vokasional seperti yang ­terkandung di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) adalah tepat dalam menyediakan ruang dan ­peluang kepada ­modal insan ­negara untuk ­memiliki keupayaan dan tahap kemahiran tinggi serta ­memenuhi ­permintaan industri.

“Dalam memenuhi usaha ini, jalinan ­kerjasama dengan ­pihak industri sedang dipergiatkan agar lebih responsif dan menepati keperluan serta perkembangan ekonomi negara.

“Manakala agenda ekonomi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) menjangkakan akan ­wujud 1.5 juta peluang ­pekerjaan ­dalam ­pelbagai sektor dengan ­sasaran sebanyak 60 peratus daripada pekerjaan tersebut memerlukan kemahiran berkaitan bidang Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET),” ujar beliau.

Beliau ­berkata ­demikian ­ketika berucap pada Majlis Menandatangani Nota Persefahaman (NoU) Kolej Vokasional Zon Sabah dan Labuan dengan ­pihak industri baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Jabatan Pendidikan Labuan, Noraini Sahbudin.

Hadir sama Pengarah Kolej Vokasional Labuan Siti Muslihah Leeudin dan pengarah-pengarah serta wakil KV Zon Sabah.

Kerjasama di antara KV Zon Labuan dan Sabah dengan pemain industri bakal memberi manfaat kepada 1,200 graduan menjalani latihan industri di Palm Beach Resort & Spa Labuan dan Dorsett Grand Labuan. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas