Artikel

Jangan sampai ada ‘kerusi terbang’ lagi

||
- Diterbit 22 Jun 2023 10:00 AM MYT

PERIBAHASA berkata ‘sekali kena kali kedua tahu’. Kejadian pertama yang menimpa wajar jadi ingatan agar tidak berulang.

Tetapi bukan semua berpegang kepada peribahasa ini. Selepas beberapa ketika, apa yang berlaku dilupa dan kesalahan sama diulang. Benarlah ramai daripada kita, termasuk warga kota, mudah lupa dengan melakukan kesilapan sama.

Adi utarakan isu ini apabila membaca laporan mengenai sikap para penghuni sebuah blok Flat Sri Pantai, Kuala Lumpur yang tidak berubah. Mereka terus membuang sampah atau objek sesuka hati walaupun perbuatan tersebut pernah meragut nyawa seorang remaja penduduk flat berkenaan pada 2018.

Masih ingatkah kejadian remaja lelaki berusia 17 tahun itu maut akibat ditimpa ‘kerusi terbang’ yang dibuang dari tingkat atas pada 17 Januari 2018? Sikap tidak bertamadun ini telah meragut nyawa seorang anak muda yang tidak berdosa.

Rendah sungguh kesedaran sivik individu terlibat. Bukan sahaja sampah sarap dibuang dari tingkat atas sehingga bersepah merata-rata, objek berat pun dibuang yang pastinya sangat membahayakan orang yang lalu-lalang di bawah.

Bayangkan kepedihan yang terpaksa ditanggung oleh keluarga remaja tersebut akibat sikap buruk pelaku sedangkan si pelaku tidak pernah memikirkan kesengsaraan ini. Jika dia bertanggungjawab tentu tidak membuang objek tanpa sedikit pun rasa bersalah.

Adi percaya ramai kesal dengan perbuatan tidak berhati perut ini. Sewajarnya peristiwa itu menjadi ingatan dan pengajaran agar penghuni flat berkenaan tidak lagi membuang sampah merata-rata dan menjaga kebersihan flat serta persekitaran.

Itu adalah tempat kediaman yang mesti dijaga sebaik mungkin. Semua kemudahan yang disediakan seperti lif hendaklah dijaga dengan baik, tidak dirosakkan. Bersyukurlah ada rumah tempat berlindung daripada panas dan hujan berbanding yang masih tercari-cari tempat kediaman.

Tetapi sayangnya, memetik laporan, sampah masih dibuang merata-rata di sekeliling blok berkenaan. Jaring yang dipasang di tangga dijadikan tempat buang sampah. Jaring ini dipasang susulan peristiwa ‘kerusi terbang’ dalam usaha menahan sampah terlepas ke bawah membahayakan penduduk.

Namun lain pula jadinya. Jaring tersebut pula dijadikan tong sampah oleh penduduk. Matlamat asal disalah guna. Jaring penahan ini jika diasak dengan pelbagai sampah sarap akhirnya boleh koyak.

Akhirnya sampah dalam jaring terburai dan jatuh ke merata-rata tempat. Sia-sia sahaja usaha yang dilakukan oleh pihak berkuasa untuk melindungi penghuni flat. Mereka sendiri yang merosakkannya.

Adi optimis bukan semua yang menduduki blok berkenaan bersikap tidak ambil peduli aspek keselamatan dan keselesaan persekitaran. Tetapi sikap sebahagian mereka yang tidak ambil peduli merosakkan nama baik penduduk keseluruhannya. Adakah mahu peristiwa ‘kerusi terbang’ berlaku lagi?

Kerana itu Adi difahamkan, ramai penghuni kesal dengan sikap penghuni lain yang tidak menjaga kedamaian persekitaran dan kesejahteraan penduduk dengan terus-menerus membuang sampah seolah-olah kawasan flat adalah loji buang sampah.

Bukan pihak berkuasa tidak memantau dan mengambil tindakan, tetapi kedegilan sukar dikikis. Walaupun surat amaran dan kompaun dikenakan, ia tidak mengubah sikap yang sudah bersarang dalam diri sejak lama.

Selain itu pihak persatuan penduduk juga memberi teguran kepada yang terlibat agar membuang sampah di tempat disediakan, bukan di mana mereka fikir hendak buang. Namun teguran ini juga tidak diendahkan. Terlebih tegur boleh menimbukan masalah lain pula.

Satu cara yang dilakukan ialah melaporkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Namun amaran dan tindakan DBKL pun tidak dipedulikan. Kelompok ini rasanya memang jenis degil yang suka membuat kotor merata-rata.

Penduduk prihatin nyata tidak senang apabila sampah sarap dibuang di sekitar lif dan kaki lima. Pastinya sampah yang terbiar ini menimbulkan bau busuk sehingga mengganggu penduduk, kecuali mungkin bagi mereka yang melakukan aktiviti membuang sampah berkenaan.

Lebih teruk, ada penduduk dari aras lain dilapor membuang sampah di aras lain. Pandai pula tidak mahu aras sendiri kotor tetapi tanpa segan silu membuang sampah dan mengotori kawasan orang lain. Sangat tidak beradab perbuatan ini.

Pihak persatuan penduduk juga mengadakan gotong-royong membersihkan flat dan kawasan persekitaran. Tetapi jumlah yang hadir sangat sedikit dan kerap kali orang yang sama. Bagi Adi ini menunjukkan memang ramai yang tidak endah hal kebersihan ini.

Kata bijak pandai ‘rumahku syurgaku’. Tetapi bagaimana mahu merasai nikmat tinggal damai di rumah jika persekitaran tidak bersih, kemudahan awam seperti lif rosak sehingga menyusahkan penghuni, terutama yang tinggal di tingkat atas.

Ini bukan isu baharu sebenarnya. Lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Perumahan Awam (PA) sering kali rosak. Sedihnya, dalam banyak kes kerosakan ini adalah kerana perbuatan vandalisme daripada kalangan penduduk sendiri.

Terdapat segelintir yang gatal tangan membuat kotor dalam lif atau merosakkan butang lif sehingga lif tidak berfungsi. Siapa yang rugi, terutama waktu kecemasan? Kalau kena batang hidung sendiri baru tahu akibatnya.

Kenapakah isu ini sering kali hanya dikaitkan dengan PPR atau PA? Di perumahan lain pun ada lif tetapi dijaga dengan baik. Sampah dibuang di tempat sepatutnya. Ini contoh yang sepatutnya jadi ikutan.

Sikap ini mesti ditanam dalam diri. Kesedaran menjadi penghuni yang baik dan bertanggungjawab mesti dipupuk tanpa paksaan orang lain. Bukan juga kerana ada undang-undang. Belajar mendidik diri sendiri. Kesannya akan lebih memberangsangkan.

Bagi Adi, DBKL mesti tegas menangani masalah penghuni yang tidak ada semangat kejiranan, membuang sampah atau objek dari atas dan merata-rata kawasan flat atau merosakkan kemudahan awam. Ini merangkumi semua PPR dan PA, bukan di kawasan tertentu sahaja. Kelompok seperti ini memang tidak layak menduduki perumahan DBKL.

Kerana itu, jika surat amaran dan kompaun tidak diendahkan, DBKL wajar mengambil tindakan lebih drastik dengan meminta penyewa mengosongkan unit mereka. Ini sahaja cara mengajar mereka untuk sedar sikap tidak baik bakal membawa padah.

Harus diingat masih ramai berbaris menunggu untuk mendapat kemudahan menduduki PPR atau PA milik DBKL. Mereka ini lebih wajar diberi peluang daripada membiarkan penghuni sedia ada yang tidak menghargai kemudahan diberi.

Adi harap para penghuni ubahlah sikap, ubahlah mentaliti. Hargai kemudahan diberi. Kuala Lumpur ialah ibu kota kelas pertama. Maka warga kotanya juga mesti menjadi masyarakat berminda kelas pertama. Jangan sampai sejarah ‘kerusi terbang’ berulang.

Adi—Suka kerusi rotan

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas