DUA pasukan SAS Cycling Club dari Labuan berjaya menempah nama dalam Pertandingan KAKA Team Time Attack 2023 anjuran KAKA Cycling Club Brunei Darussalam baru-baru ini.
Pertandingan yang diadakan dengan jarak laluan sejauh 72 kilometer disertai 20 pasukan termasuk satu pasukan jemputan dari Miri Sarawak iaitu Masterpiece Cycling Club.
Menurut Pegawai Perhubungan pasukan tersebut, Abdul Latif Nordin, pasukan SAS Cycling Club yang dibarisi pelumba Razzawandy Razak, Rolehan Rosly, Azdi Manan, Zulkifli Hussien dan Nor Akmal Danial Abd Latif berjaya menduduki tempat ketujuh dengan catatan masa 1:50:52 seterusnya membawa pulang hadiah wang tunai 400 dolar Brunei.
“Satu lagi pasukan iaitu SAS Racing Team terdiri daripada Aiman Hakim Junaidi, Yusof Sudin, Mohd Faizul Kamarulzaman, Adi Japar dan Farih Ramadan Rody berjaya mendapat tempat kelapan sekali gus menerima hadiah wang tunai 300 dolar Brunei.
“Penyertaan ini merupakan kali kedua mereka di Negara Brunei yang mana penyertaan kali pertama pada Februari lalu bagi acara lebuh raya dianjurkan Pusat Ehsan Brunei,” ujarnya. -WILAYAHKU