Berita

5,000 keluarga asnaf di Labuan terima duit raya

MD Fazli (dua dari kiri) ketika menziarahi golongan asnaf di Labuan baru-baru ini.
- Diterbit 24 Mac 2023 6:54 AM MYT

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan memperuntukkan sejumlah RM5.5 juta buat 5,000 buah keluarga asnaf di Labuan menjelang Aidilfitri ini.

Bantuan tersebut bakal meringankan beban golongan asnaf di Pulau Bebas Cukai itu dalam persediaan menyambut Ramadan sekali gus membuat persiapan menjelang hari raya yang bakal tiba pada bulan depan.

Pengurus MAIWP Labuan, Md Fazli Md Saad berkata mereka akan menerima separuh daripada wang tunai sebelum Ramadan dan bakinya akan dikreditkan sebelum Aidilfitri.

“Kita bayar secara berperingkat iaitu RM500 terlebih dahulu dan baki lagi RM500 akan dibayar kemudian sebelum raya.

“Saya kira ini merupakan khabar baik kepada golongan asnaf yang mana kita sedaya upaya berusaha untuk membantu mereka meraikan bulan Ramadan dan Syawal.

“Diharapkan bantuan ini sedikit sebanyak dapat menceriakan mereka sekeluarga dalam membuat persiapan,” ujar beliau ketika ditemui pemberita pada Program Jelajah Ramadan (JR) peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, baru-baru ini.

Hadir sama pada program tersebut, Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan, Fauziah Sidek. Terdahulu, pada Program JR tersebut turut diadakan aktiviti gotong-royong bagi membersihkan masjid-masjid di sekitar Labuan selain penyampaian sumbangan bantuan bakul barangan dapur MAIWP kepada keluarga asnaf di kampung terlibat.

Selain itu, pada program sama turut diadakan Bengkel Asas Pembuatan Roti kepada asnaf wanita melalui kerjasama Kelab Belia Anak Layangan (KEBAL) Labuan. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas