SISTEM Pangkalan Data Utama (PADU) bakal membawa perubahan dalam urusan pengurusan data di Malaysia.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata Malaysia mempunyai sebanyak 455 institusi sektor awam melibatkan 70 kementerian, jabatan dan agensi; 13 kerajaan negeri; 83 badan berkanun Persekutuan; 134 badan berkanun negeri dan 155 pihak berkuasa tempatan (PBT).
Tambah Fahmi, kesemua data akan disimpan di bawah satu bumbung bagi memudahkan urusan semua pihak.
“Bayangkan, sebelum ini, kalau nak berurusan dengan tiga institusi sektor awam, kita perlu isi banyak dokumen berbeza dan bawa berpuluh dokumen sokongan. Tapi maklumat yang diisi hampir sama.
“Sekarang, di bawah PADU semua data di bawah satu bumbung,” katanya pada Selasa.
Dalam pada masa sama, menurut Fahmi, urusan pemberian subsidi serta bantuan kewangan akan menjadi lebih mudah dengan adanya sistem PADU.
“Melalui sistem ini jugalah nanti, kerajaan akan lebih mudah untuk memberi subsidi dan bantuan kewangan kepada golongan yang memerlukan. Rakyat tak perlu dah isi data berpuluh kali,” ujarnya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa merasmikan peluncuran PADU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya berkata pengenalan sistem itu adalah selaras pendekatan transformasi digital negara dengan jaminan bahawa setiap kemudahan kerajaan akan dinikmati penerima yang berhak.
PADU, yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara serta pemastautin tetap di Malaysia, adalah pangkalan data sosioekonomi negara bersepadu dengan menggabungkan data daripada jabatan dan agensi kerajaan.
Pendaftaran di platform untuk memberi gambaran yang adil mengenai kedudukan sosioekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia itu dibuka kepada orang ramai mulai hari ini sehingga 31 Mac depan bagi mengemas kini serta mengesahkan 39 item maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat. – WILAYAHKU