Berita

Tuisyen Confirm Al percuma buat pelajar

AZIZAH menyerahkan replika kad ID kepada Pengetua Sekolah Menengah Teknik KL, Ahmad Nzryshah Mohamed Khalid
- Diterbit 15 Disember 2023 8:50 AM MYT

LEBIH 1,000 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 14 buah sekolah menengah di sekitar Parlimen Bandar Tun Razak bakal menerima perkhidmatan tuisyen secara dalam talian Confirm AI secara percuma selama setahun.

Inisiatif tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak dengan kerjasama Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menerusi projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan dana pembangunan sebanyak RM500,000 yang diperuntukkan TNB.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata program ini menyasarkan para pelajar SPM 2023/2024 dari keluarga berpendapatan rendah (B40) untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka.

“Inisiatif ini kita laksanakan adalah untuk memberi penekanan dan rangsangan kepada pelajar khususnya daripada golongan B40 di Bandar Tun Razak kerana kita ingin bantu miskin bandar.

“Kita beri tuisyen ini secara terus jadi kita boleh bantu pelajar ini dalam pelajaran selain menyokong mutu pendidikan,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Tuisyen Dalam Talian Confirm AI di Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur pada Isnin.

Beliau berharap menerusi aplikasi AI ia mampu memberikan pembelajaran yang lebih berkualiti di samping pelajar boleh melakukan latih tubi bagi meningkatkan pemahaman dalam setiap mata pelajaran yang disediakan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Canselori UNITEN, Profesor Ts Dr Mohd Ezanee Rusli berkata setakat ini kira-kira 50,000 pelajar telah memanfaatkan tuisyen secara dalam talian Confirm AI ini sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2011.

MOHD EZANEE

“Kebanyakan sekolah yang terlibat adalah di luar bandar di mana perkhidmatan ini diberikan secara percuma kepada yang memerlukan tanpa mengira latar belakang.

“Tuisyen percuma ini memberi fokus kepada enam mata pelajaran teras SPM iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Prinsip Perakaunan.

“Dari segi soalan, kita sediakan mengikut silibus terkini, bila pertukaran silibus kita tukar balik soalan lama dan gantikan dengan soalan baharu yang pastinya tidaklah begitu sukar dan boleh difahami,” katanya tuisyen ini dijalankan selama dua minggu dan disesuaikan dengan tahap kebolehan individu.

Tambahnya menerusi tuisyen ini, pihaknya juga telah menyediakan skema jawapan bagi menggalakkan dan memudahkan pelajar melengkapkan setiap soalan yang diberikan.

“Fokus utama kita pada kali ini adalah untuk membantu pelajar meningkatkan mutu akademik mereka terutama bagi mata pelajaran Matematik yang mencatatkan purata lulus yang rendah.

“Sebelum ini, kita buat di Sungai Ramal, Bangi, berdasarkan keputusan yang diperoleh memang berkesan dan sudah ramai pelajar yang berjaya dibantu.

“Justeru itu, diharapkan agar kerjasama yang dijalinkan pada perasmian ini akan diperkembangkan lagi kerana telah terbukti ia berkesan dan amat rugi jika pelajar lain tak dapat gunakan kemudahan ini,” katanya.

Terdahulu, turut hadir Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin; Timbalan Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr Zalina Mohd Tahir dan Pengurus Besar Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak, Saifulizan Haron. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas