BAGI memastikan Akhbar Wilayahku terus relevan memenuhi kehendak pembaca, YWP Media Sdn Bhd mengadakan Bengkel Pemantapan Pasukan (Team Building & Retreat) bersama kakitangan selama pada 28 hingga 30 September lalu di Avillion, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Pengerusi YWP Media Sdn Bhd, Datuk Afdlin Shauki berkata tujuan utama program ini adalah untuk mewujudkan dan meningkatkan semangat kerja serta motivasi yang tinggi dalam kalangan kakitangan dan pihak pengurusan.
“Kita turut merangkap perancangan perniagaan tiga tahun berdasarkan sasaran yang ditetapkan oleh pengurusan di samping membincangkan beberapa idea baharu bersama-sama untuk pertumbuhan kemajuan syarikat.
“Dengan adanya perbincangan dan sesi pertukaran idea tersebut, syarikat dapat memperoleh perspektif baru dan strategik dalam membantu pertumbuhan serta peningkatan prestasi perniagaan,” kata beliau.

Dalam masa yang sama, beliau juga mengingatkan semua kakitangan untuk menetapkan impian dan hala tuju supaya segala tugas yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Insya-Allah, Akhbar Wilayahku akan dikembangkan dengan beberapa inovasi terbaharu merangkumi media sosial yang pastinya akan membawakan lebih banyak berita-berita menarik untuk santapan pembaca,” katanya.
Untuk rekod, YWP Media Sdn Bhd adalah sebuah syarikat penerbitan akhbar mingguan yang mula beroperasi pada 2019 dan merupakan anak syarikat Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).
Akhbar 24 halaman ini menyiarkan berita berkaitan isu-isu semasa, aktiviti menarik yang berlaku di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. – WILAYAHKU