KIRA-KIRA 60 peratus daripada 9,437 lesen perniagaan di Pulau Bebas Cukai ini masih belum memperbaharui lesen perniagaan sebelum menjelang hujung Disember ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Fadzilah Mahmud berkata, pihaknya tidak akan melanjutkan tempoh pembaharuan lesen perniagaan sebaik tempohnya tamat, seperti yang dilaksanakan tahun-tahun sebelum ini.
“Walaupun tempoh pembaharuan lesen telah dibuka tiga bulan lebih awal iaitu pada Oktober berbanding dua bulan pada tahun lepas, namun sehingga kini hanya 40 peratus peniaga memperbaharui lesen perniagaan mereka.
“ Bagi mereka (peniaga) yang lewat memperbaharui lesen perniagaan akan dikompaun sebanyayak RM100 jika gagal membuat demikian sebelum 31 Disember ini,” katanya kepada pemberita semasa program Walkabout Premis Perniagaan Pembaharuan Lesen Perniagaan Bagi Tahun 2024 yang diadakan di Laman Victoria, hari ini.
Pada tinjauan itu, sebanyak 13 premis perniagaan di pusat Bandar Labuan telah dilawati sebagai peringatan mesra untuk memperbaharui lesen perniagaan.
Turut hadir, Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Labuan Datuk Wong Kii Yii dan Pengerusi Dewan Perniagaan India Labuan Datuk Dahlif Singh dan Pengarah Jabatan Perlesenan Perbadanan Labuan Helmi Bali.
Mengulas lanjut, Fadzilah mengesa kepada para peniaga di pulau itu agar tindak awal bagi mengelak kesesakan di Kaunter Setempat Perbadanan Labuan pada masa-masa akhir.
“ Setiap peniaga yang ingin membaharui lesen perniagaan hanya perlu membawa sijil lesen perniagaan lama yang boleh di proses dalam tempoh yang singkat, sekiranya tidak berlaku sebarang perubahan tempat dan jenis perniagaan mereka,” jelasnya.- WILAYAHKU