Oleh HAZIRAH HALIM
Foto AMIN FARIJ
TANGGAL 15 Oktober setiap tahun adalah tarikh bermakna buat golongan Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan di seluruh dunia kerana mereka diraikan dalam Sambutan Hari Tongkat Putih Antarabangsa.
Sambutan ini pada awalnya adalah untuk memberi kesedaran dan pendedahan kepada masyarakat umum dalam menyantuni golongan tersebut yang sedang berjalan menggunakan tongkat putih.
Di Malaysia, Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) merealisasikan wadah perjuangan golongan OKU penglihatan dengan memilih Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur sebagai lokasi bagi menganjurkan Program Hari Tongkat Putih Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (Advokasi kepada OKU Penglihatan) edisi ke-12 bagi tahun 2023 dengan bertemakan Masyarakat Inklusif ke Malaysia Madani.
Program yang diadakan pada Ahad lalu berlangsung meriah dengan kehadiran 500 peserta dari seluruh Malaysia selain turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik.
Antaranya, perarakan mengelilingi tasik sejauh 2.3 kilometer (km) dengan diiringi pasukan Pancarangam Victoria Institution selain pameran oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Perpustakaan Negara dan Pertubuhan Mata Kasih.

Mengulas lanjut mengenai program, Pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM), Mohammed Nazari Othman berkata Hari Tongkat Putih merupakan sebuah program yang sinonim dengan Hari Penglihatan Sedunia (World Sight Day) yang diraikan pada hari Khamis kedua bulan Oktober setiap tahun.

“Ia lebih kepada kempen untuk menjaga kesihatan mata di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala Hari Tongkat Putih pula lebih kepada memupuk dan meningkatkan semangat keprihatinan dalam kalangan masyarakat awam supaya lebih peka dan mengambil berat terhadap keperluan asas OKU terutama kepada komuniti OKU penglihatan di Malaysia.
“Ini merupakan penganjuran edisi ke-12 semenjak pertama kali diadakan pada tahun 2010 di mana bandar raya Kuala Lumpur telah menjadi lokasi pertama pelaksanaan program ini,” katanya ketika ditemui Wilayahku pada Program Hari Tongkat Putih Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Tambah Nazri, program ini juga dijalankan sejajar dengan objektif yang ditetapkan iaitu memupuk dan meningkatkan semangat keprihatinan dalam kalangan masyarakat agar lebih peka terhadap kemudahan dan keperluan OKU penglihatan.
“Selain itu, ia juga diraikan untuk memupuk dan meningkatkan semangat kesukarelawan terutama dalam kalangan belia serta memberi pengiktirafan kepada organisasi perkhidmatan pengangkutan yang menyediakan kemudahan mesra OKU.
“Hasrat kami adalah untuk mempertontonkan kepada masyarakat apakah fungsi tongkat putih tersebut di samping mengukur kemudahan kepada mereka seperti di sini (Taman Tasik Titiwangsa), insya-Allah kita akan berinteraksi dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mewujudkan dan menambah kemudahan asas berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Nazari turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk seluruh jawatankuasa penganjur dan sukarelawan yang bertungkus lumus dalam menjayakan program itu.
Ditanya mengenai peranan SBM dalam membantu perkembangan komuniti berkenaan, Nazri berkata setakat ini pihaknya telah berjaya melahirkan ramai tukang urut profesional dalam kalangan komuniti berkenaan.
“Alhamdulillah, ramai tukang urut dilahirkan daripada komuniti ini, sehingga ada yang mampu menggajikan pekerja dalam golongan berkenaan sebagai tukang urut baharu.
“Usaha kami tiada noktah. Kami akan terus salurkan maklumat kepada masyarakat tentang keupayaan, kelebihan dan saya harap kedudukan komuniti ini akan sama seperti rakyat Malaysia yang lain,” katanya SBM memiliki seramai 7,682 ahli berdaftar berumur 18 tahun ke atas. – WILAYAHKU