Berita

Jangan politikkan Belanjawan 2024 – Ahmad Zahid

ZAHID ketika hadir pada Majlis perasmian Sambutan Hari Sukan Negara peringkat negeri Kelantan 2023 di Taman Etnobotani, Gua Musang. Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 14 Oktober 2023 5:10 AM MYT

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap Belanjawan 2024 yang dibentangkan semalam tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

Beliau berkata belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan semalam adalah lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Perancangan jangka panjang ada dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan ada kajian separuh penggal, malah Kementerian Ekonomi juga sedang menyusun pelbagai perancangan.

“Jangan dilihat belanjawan bagi satu-satu tahun ini sebagai belanjawan dalam konteks keperluan semasa sahaja, tetapi juga harus dilihat untuk jangka pendek dan jangka sederhana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kelantan 2023 di Taman Etnobotani, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata apa yang telah ditekankan Perdana Menteri, sudah dicerakinkan dengan cukup komprehensif dan Belanjawan 2024 mengambil kira semua golongan masyarakat.

“Saya fikir belanjawan ini lebih baik daripada belanjawan-belanjawan sebelum itu,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas