DIANGGARKAN seramai 100 orang mangsa terperangkap dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm yang terletak di jalan yang menghubungkan Batang Kali dan Genting Highland.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataannya 92 mangsa telah selamat ditemukan, 53 mangsa yang ditemui berada dalam keadaan selamat, 7 orang cedera dan 13 maut dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku seawal jam 3 pagi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.24 pagi, telah mengerahkan anggota dari balai Bomba dan Penyelamat dari Kuala Kubu Baru dan Rawang untuk operasi menyelamat.

Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Father’s Organic Farm yang dikatakan popular dikalangan pecinta aktiviti perkhemahan dan “hiking” dan sering mendapat tempahan pelancong dari dalam dan luar negara serta penduduk sekitar ketika musim cuti persekolahan bermula.
Mangsa yang terselamat dihantar ke Hospital Selayang, Hospital Ulu Yam dan juga Balai Bomba berdekatan.
Setakat ini, seramai lebih 300 anggota penyelamat dari pelbagai agensi yang terdiri dari anggota Bomba, Polis dan Pertahanan Awam telah berada di lokasi kejadian bagi menjalan kerja-kerja pencarian penyelamatan. Ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan keluasan 0.4 hektar.
Ketika ini, semua jalan masuk ke kawasan kejadian ditutup sepenuhnya kepada kenderaan awam sebagai langkah keselamatan dan operasi pencarian dan penyelamatan masih giat dijalankan. –
Oleh: Amin Farij Hasan / Foto: Nazirul Roselan – WILAYAHKU