Berita

KWP sedia hadapi banjir kilat, TNB periksa empangan hidroelektrik

ROMBONGAN turut meninjau lokasi hot spot banjir kilat.
- Diterbit 25 November 2022 6:00 AM MYT

BAGI memastikan kejadian banjir kilat di Wilayah Persekutuan dapat dikurangkan, beberapa tindakan sedang dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) untuk mengatasi bencana tersebut.

Malah KWP menerusi Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Rosida Jaafar juga sentiasa komited untuk menyasarkan Wilayah Persekutuan sebagai salah satu lokasi yang bebas daripada banjir kilat.

Terdahulu, Rosida mengetuai sesi lawatan turun padang (TUPA) untuk memantau lokasi hot spot banjir kilat melibatkan Jalan Sultan Azlan Shah (Hadapan Balai Polis Batu 3) dan Jalan Rahmat, Kuala Lumpur.

Turut serta dalam sesi tersebut Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan & Sosio Ekonomi) KWP, Datuk Parang Abai @ Thomas selain wakil daripada agensi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (BOMBA), SWCorp dan Alam Flora.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah membuat persiapan menyeluruh bagi menghadapi musim tengkujuh termasuk penambahbaikan beberapa infrastruktur kritikal milik syarikat tersebut yang terletak di kawasan berpotensi ditenggelami banjir.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata kesemua empangan hidroelektrik TNB juga telah dipastikan berada dalam keadaan baik untuk terus berfungsi sebagai tebatan banjir antaranya mengurangkan paras air empangan secara berperingkat bermula Julai lalu.

Menurut beliau, pihaknya telah memasang tembok penahan sistem perparitan di Pencawang Masuk Utama dan meninggikan aras platform peralatannya.

“Manakala set-set jana kuasa bergerak, jana kuasa mudah alih serta perkakas kritikal seperti bot, telefon satelit dan lampu limpah ditempatkan di lokasi-lokasi strategik.

“Langkah-langkah lain adalah mengubah lokasi dan meningkatkan ketinggian menara penghantaran untuk memastikan tiada risiko menara tumbang,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas