Berita

DBKL perkenal surau bergerak, mudahkan urusan umat Islam sertai program sekitar ibu kota

|SURAU bergerak menggunakan lori 10 tan itu dilengkapi penghawa dingin dan kemudahan berwuduk dengan tangki air 900 liter yang boleh menampung keperluan 600 jemaah.|
- Diterbit 26 September 2022 3:25 PM MYT

UMAT Islam yang menyertai program luar di sekitar ibu negara kini lebih mudah untuk menunaikan rukun Islam ke tiga itu berikutan inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengubah suai satu unit pejabat bergeraknya sebagai surau bergerak.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, surau bergerak menggunakan lori 10 tan itu dilengkapi penghawa dingin dan kemudahan berwuduk dengan tangki air 900 liter yang boleh menampung keperluan 600 jemaah.

“Pada bila-bila masa, surau bergerak ini boleh memuatkan 10 jemaah lelaki dan wanita dalam satu-satu masa manakala 20 jemaah lelaki lagi boleh ditempatkan di kawasan sebelah luar lori berikutan ia turut dilengkapi dengan awning.

“Kemudahan ini akan memberi manfaat kepada pengunjung yang terlibat dalam program ad-hoc seperti maraton dan Sambutan hari kemerdekaan.

“Surau bergerak ini boleh diletakkan di kawasan yang ramai orang berkumpul seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman yang ditutup kepada kenderaan setiap Ahad,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran surau bergerak pada Ahad.

SURAU bergerak menggunakan lori 10 tan itu dilengkapi penghawa dingin dan kemudahan berwuduk dengan tangki air 900 liter yang boleh menampung keperluan 600 jemaah.

Menjelas lanjut, Mahadi berkata surau bergerak itu turut dilengkapi dengan generator yang mampu bertahan lebih 10 hingga 12 jam dan ia dikawal selia oleh dua pemandu yang akan menjalankan kerja-kerja susun atur awalan serta penentuan arah kiblat.

Pada majlis sama, Mahadi turut melancarkan kenderaan baharu yang digunakan oleh Skuad Penyelamat DBKL iaitu Kenderaan Tindak Balas Pantas (RRV) bagi memudahkan kerja-kerja kecemasan di sekitar bandar raya termasuklah bencana alam seperti pokok tumbang atau objek yang menghalang laluan awam, selain menangani haiwan liar dan berbisa seperti ular, lebah dan tebuan.

“DBKL sudah mempunyai persefahaman dengan agensi penyelamat lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sekiranya ia melibatkan ancaman haiwan berbisa dan tidak melibatkan nyawa, Skuad Penyelamat DBKL akan memberikan bantuan segera,” ujarnya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas