Berita

Kejohanan Golf Amal RMHC kutip dana tertinggi

- Diterbit 22 September 2022 3:00 PM MYT

KEJOHANAN Golf Amal Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) 2022 yang berlangsung di Tropicana Golf and Country Resort hari ini berjaya meraih kutipan hampir RM500,000 untuk dana program Kembali ke Sekolah.

RMHC Malaysia dalam kenyataannya hari ini memaklumkan jumlah kutipan itu merupakan tertinggi pernah diraih sejak bermulanya kejohanan golf tahunan itu yang kini memasuki edisi ke-29.

Menurut kenyataan itu dana yang dikumpul itu merupakan sebahagian daripada RM1.5 juta untuk barangan keperluan sekolah yang akan diagihkan kepada kanak-kanak sekolah rendah daripada keluarga B40 dan kanak-kanak kurang bernasib baik di seluruh Malaysia.

Pengarah Urusan merangkap Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Datuk Azmir Jaafar berkata RMHC berharap pengagihan barangan keperluan sekolah itu dapat meringankan beban kewangan keluarga kanak-kanak berkenaan pada pembukaan penggal baharu persekolahan nanti.

Beliau yang juga Presiden RMHC Malaysia berkata kanak-kanak ini sememangnya berhak untuk memulakan penggal baharu persekolahan dengan gembira, teruja dan penuh motivasi.

“RMHC Malaysia percaya bahawa pendidikan merupakan hak asasi bagi setiap kanak-kanak. Menerusi bantuan kewangan dalam bentuk keperluan sekolah, kanak-kanak ini boleh fokus kepada pelajaran dan terus mengasah kreativiti serta pengetahuan bagi mencapai potensi sebenar mereka.

“Kehidupan setiap kanak-kanak adalah penting dan RMHC berusaha membantu seramai mungkin keluarga yang kurang bernasib baik dalam meningkatkan tahap kesihatan anak-anak mereka. Kami harap dana ini boleh meringankan beban kewangan keluarga berkenaan di samping memenuhi keperluan perubatan mereka,” kata Azmir.

Dalam pada itu, menurut kenyataan tersebut RMHC Malaysia menyasarkan untuk membantu memberi kehidupan lebih baik kepada kanak-kanak kurang bernasib baik, seiring dengan teras utamanya iaitu Kesihatan, Pendidikan dan Kebajikan.

Kenyataan itu turut memaklumkan acara tahun ini lebih istimewa dengan penyerahan geran perubatan kepada empat dana kebajikan di hospital terpilih iaitu Yayasan Institut Jantung Negara; Tabung Pesakit Hospital Universiti Sains Malaysia; Tabung Pesakit Hospital Tunku Azizah (HTA); dan Tabung Pesakit Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia.

Menurut RMHC geran tersebut akan diberikan kepada kanak-kanak berusia antara 1 dan 18 tahun yang memerlukan bantuan kewangan bagi menjalani rawatan perubatan atau untuk membeli peralatan perubatan atau ubat-ubatan.

Menurut kenyataan itu pada tahun lepas, hampir RM10 juta berjaya dikutip untuk program Kembali ke Sekolah yang telah memberi manfaat kepada kehidupan lebih 100,000 kanak-kanak seluruh negara.

RMHC memaklumkan sejak 2018 hingga kini, pertubuhan kebajikan itu telah menyediakan geran perubatan kepada dana kebajikan kanak-kanak berjumlah kira-kira RM470,00. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas