REKOD perkhidmatan sejak menjadi wakil rakyat bagi kerusi P124, Bandar Tun Razak perlu dijadikan asas oleh penduduk apabila menilai prestasi kepimpinan setempat.
Ahli Parlimennya, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, aspek tersebut perlu diambil kira sebagai penting terutama dalam mengukur keberkesanannya menjadi wakil rakyat dan berkhidmat untuk warga masyarakat.

Beliau berkata, sejak mula terpilih sebagai Ahli Parlimen Bandar Tun Razak pada 2018 gerak kerja dilaksana lebih tertumpu untuk berdampingan dengan rakyat dari pelbagai lapisan yang berbeza aspek keperluannya.
Disebabkan itu, katanya usaha mendekati rakyat khususnya tempoh lebih dua tahun penularan COVID-19 telah memberikannya peluang dan kesempatan secara langsung untuk berkhidmat demi membantu rakyat.
“Walaupun belum jelas senario Pilihanraya Umum (PRU-15) akan datang, tetapi saya berkeyakinan sejak berdampingan dengan rakyat serta pengundi selama berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di sini, rakyat faham dan menghargainya.
“Khidmat bantuan sama ada aspek sosial penduduk di kawasan lock down mahupun bantuan umum seperti pemberian bakul makanan, peralatan dan perubatan kepada warga selain institusi sekolah, masjid dan lain-lain dibuat selama pandemik,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media di Rumah Terbuka Aidilfitri Keluarga Bandar Tun Razak di Institut Latihan DBKL, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Majlis bermula 11 pagi sehingga 3 petang menghidangkan beraneka juadah dihadiri lebih 8,000 warga sambil turut berpeluang beramah mesra dengan Kamarudin yang juga Timbalan Menteri Luar Malaysia.
Sementara itu, mengulas mengenai PRU-15 Kamarudin kini mewakili Bersatu berkata, persiapan khusus untuk pilihan raya hanya dilakukan apabila tiba masanya.
Namun, secara umum katanya, berlandas pengalamannya beberapa kali menjadi Ahli Parlimen, persiapannya seolah-olah PRU itu akan berlangsung pada bila-bila masa.
“Saya yakin rakyat mengenali, menghargai bakti selama tempoh khidmat saya di sini
seterusnya mereka akan tunjukkan ketika mengundi dengan berlandaskan trek rekod perkhidmatan yang saya berikan,” ujarnya. -WILAYAHKU