SIKAP menghormati dan bermurah hati dipamer seorang berbangsa Cina bukan sekadar mendapat perhatian malahan menimbulkan kekaguman ramai dalam kalangan masyarakat yang sempat menerima sumbangan diagihkan.

Individu berkenaan, Bapa Haw menjelaskan inisiatif diambil sebahagian usahanya bagi bersama-sama membantu golongan yang memerlukan khusus warga B40 menikmati makanan yang enak secara percuma.
Pengusaha Restoran Makanan Enak Empat Sekawan Bersatu (SWD) itu berkata, beliau terpanggil memeriahkan Ramadhan kali ini dengan menyumbangkan 100 nasi lemak ayam goreng kunyit yang diagihkan kepada orang ramai.
Katanya, inisiatif murni diambil atas dasar semangat perpaduan sesama rakyat yang berbilang kaum seterusnya menjadi medan tepat bagi menzahirkan sokongan kepada umat Islam yang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan.
“Saya berkawan dengan ramai Melayu dan muslim sejak daripada kecil lagi, jadi sudah banyak kali program bantuan dan agihan seumpamanya dilakukan antaranya misi bantuan banjir sebelum ini.
“Cuma berbeza kali ini, kita agih bantuan berbentuk makanan pula memandangkan restoran yang saya urusan di Taman Pagar Ruyong, Kuchai Lama adalah satu restoran masakan Melayu dijamin halal, diuruskan sepenuhnya oleh pekerja tempatan.
“Jadi, agihan sumbangan ini secara tidak langsung bagi mempromosi dan perkenal menu masakan restoran kami yang sudah beroperasi kira-kira enam bulan yang sediakan aneka jenis menu tradisi hingga hidangan masakan Chinese,” katanya semasa hadir mengagihkan 100 bungkus nasi lemak di Dewan Merdeka, Pekan Sg Besi.

Mengulas lanjut, Bapa Haw berkata secara kasarnya lebih RM700 diperuntukkan bagi menjayakan agihan sumbangan makanan kali ini namun kos bukan menjadi tumpuan sebaliknya lebih kepada usaha mendekati komuniti setempat.
Katanya, sumbangan dilaksanakan dengan usahasama Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Sub Zon 5 Bandar Tun Razak itu adalah sebahagian kaedah menzahirkan budaya toleransi dan saling menghormati sesama rakyat.
“Malah pendekatan turut selari semangat ‘Keluarga Malaysia’ seperti digagaskan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Saya juga berpendapat inisiatif sebegini perlu digembleng oleh semua pihak untuk menunjukkan solidariti kita rakyat Malaysia berbilang kaum hidup harmoni serta saling menghormati, merupakan tonggak penting kemakmuran Malaysia selama ini,” katanya. -WILAYAHKU
