MELALUI usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR), selebriti popular Dr Ahmad Idham bersama isteri semalam telah menandantangani satu memorandum persefahaman antara Sekolah Pendidikan Khas Eden Firdaus dengan Tadika Sinar Indah Berkat.
Memorandum ini menandakan satu jalinan usahasama bagi mempertingkatkan lagi pembangunan dan kesedaran terhadap Pendidikan Khas kepada golongan anak anak istimewa di sekitar Ampang.
Bertepatan dengan bulan April merupakan bulan Autism sedunia, usahasama ini juga bakal memberi impak dan kesedaran yang lebih mendalam kepada ibu bapa yang mempunyai anak anak istimewa agar mereka lebih memahami kepentingan modul modul pembelajaran dan terapi yang terbaik untuk anak anak istimewa.

Antara yang diperkasakan dalam memorandum ini adalah Tadika Sinar Indah Berkat yang dimilik Ahmad Idham dan isteri, sebagai Tadika pertama di kawasan Ampang yang menyediakan khidmat pendidikan khas.
Memorandum ini juga menyentuh tentang penyediaan khidmat saringan percuma bagi membantu ibu bapa mendapatkan pra diagnosis tentang kelewatan anak dari segi akademik.
Bukan itu sahaja, persefahaman yang terjalin ini akan mewujudkan ‘Parent Support Programme bersama komuniti ibu bapa yang mempunyai anak anak istimewa, menyediakan latihan untuk guru guru mendalami ilmu pengajaran kepada anak anak istimewa dan banyak lagi.
Menurut Ahmad Idham, dia mempunyai alasan tersendiri memilih Ampang sebagai lokasi tadika miliknya itu.
“Ampang inilah tempat saya dan isteri saya membesar dan di Bukit Indah inilah di mana mulanya saya dan Isteri mengusahakan Tadika kami selama 14 tahun.
“Tadika ini juga merupakan tadika pertama di Bukit Indah yang memperkenalkan kaedah montessori.
“Saya nak mulakan dulu dengan Ampang sebagai Hub Pendidikan Khas dan insya Allah akan saya kembangkan ke seluruh Malaysia.
“Selepas termeterai usahasama ini saya akan mulakan gerakan untuk berjumpa beberapa sekolah di sekitar Ampang dan juga saya akan menziarahi keluarga keluarga di sekitar Ampang ini untuk membantu mana mana yang memerlukan khidmat bantuan saya,” katanya.
Ahmad Idham berkata lagi, sudah sampai masanya untuk dia secara serius menyantuni masyarakat di luar sana yang selama ini menyokong kerjaya beliau sehingga ke hari ini.
“Berjayanya saya selama 25 tahun dalam dunia seni ini adalah disebabkan sokongan peminat dan masyarakat di luar sana, sudah Sampai masanya untuk saya membalas jasa mereka dengan memberi balik kepada komuniti sebagai CSR saya,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU