SEBANYAK enam Komuniti Keluarga Malaysia telah ditubuhkan oleh Jabatan Penerangan (JaPen) Labuan sebagai platform kerajaan dalam penyampaian maklumat yang pantas, tepat dan mudah difahami rakyat.
Ahli Dewan Negara, Datuk Bashir Alias berkata, penubuhan KKM itu bertujuan adalah bagi meningkatkan kefahaman rakyat sekali gus menangani penularan berita palsu dan maklumat tidak benar dalam kalangan masyarakat.
“Seramai enam pengerusi KKM telah dilantik mengikut pecahan enam sub zon di kawasan Parlimen Labuan.
“KKM juga bertindak sebagai katalis dalam membantu memperkasakan daya saing komuniti setempat dalam bidang sosioekonomi sejajar dengan perkembangan ekonomi digital,” katanya kepada pemberita selepas taklimat Penubuhan Komuniti Keluarga Malaysia di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah JaPen Labuan Rasil Hajatil berkata, pihaknya akan sentiasa membantu KKM dalam menyebar luas dan penyampaian maklumat serta dasar kerajaan kepada rakyat.
“Kita sentiasa memberikan sokongan dan membantu KKM dalam pelbagai program-program di lapangan termasuklah dari segi nasihat dan peruntukan kewangan. Malahan, kerjasama dengan pelbagai agensi seperti Perbadanan Labuan dipertingkatkan agar membantu menyampaikan aspirasi kerajaan agar rakyat memahaminya,” katanya. -WILAYAHKU