34 unit kediaman di Kondominium Seri Duta 1 diarahkan untuk berpindah selepas disahkan tidak selamat untuk didiami ekoran banjir sejak hujung minggu lalu.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua unit di empat blok yang terjejas dinasihatkan untuk berpindah keluar atas faktor keselamatan penduduk.
“Terdapat empat blok yang terkesan iaitu Blok 60/62, Blok 64/66, Blok 94/96 dan Blok 98/100.
“Selain itu, penghuni yang berada di tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) turut diarahkan untuk berpindah disebabkan keadaan di kawasan tersebut tidak selamat dan akan memberikan risiko kepada penduduk,” jelas DBKL dalam kenyataan hari ini.
DBKL berkata pihaknya mendapatkan khidmat perunding, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Institut Kerja Raya (IKRAM) untuk melakukan lawatan tapak di kawasan tersebut untuk menganalisa keselamatan bangunan dan cerun di situ.
Tambah DBKL, satu maklum balas kestabilan daripada pihak perunding, JKR dan IKRAM telah dikeluarkan dan mendapati struktur bangunan tersebut bermasalah dan berisiko terjadinya runtuhan tanah yang lebih kritikal.
“Terdapat tanda-tanda berlakunya pergerakan tanah yang memberi kesan kepada struktur bangunan.
“Antara tanda berlakunya pergerakan tanah adalah column dengan dinding yang telah terpisah, surface tension crack di beberapa permukaan tanah dan keretakan di bawah lantai,” katanya.
DBKL memberitahu Pihak Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body) telah mengosongkan unit-unit penduduk yang terkesan sebagai tindakan awalan bagi menghalang hakisan yang berterusan dan boleh menyebabkan pergerakan kepada pile cap.
“Kerja-kerja pemulihan cerun dan bangunan di dalam kawasan pemaju akan dilakukan dengan kadar segera.
“Pada masa sama, IKRAM akan memantau pergerakan tanah di kawasan itu secara lebih dekat,” ujarnya. – WILAYAHKU