PENGERUSI Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Changgang, Mohd Alias Hamdi menyifatkan inisiatif yang digerakkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dalam membantu mangsa banjir luar dari Wilayah Persekutuan menyerlahkan keprihatinan pihak KWP terhadap nasib yang menimpa mangsa banjir.
Katanya, tindakan tersebut bertepatan dengan keadaan bencana yang berlaku di kawasan ini dan pihaknya berbesar hati dengan sumbangan KWP dan agensi seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Purajaya (PPj) yang membantu membersihakan kawasan bencana tersebut,
“Ini adalah kebaikan untuk penduduk kampung dan banyak agensi dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang datang untuk memberi bantuan untuk sumbangan barangan.
“Pihak KWP dan agensi pula membantu kerja-kerja pasca banjir termasuk mencuci dan membersih kawasan terutama di rumah-rumah ibadah dan juga rumah yang didiami warga emas,” katanya kepada Wilayahku pada Khamis.
Beliau juga memanjatkan kesyukuran kerana pihak KWP dan agensi yang terdiri daripada DBKL dan PPj membawa kelengkapan untuk mengepam air sekali gus dan mempercepatkan kerja-kerja pembersihan dijalankan.
“Penduduk yang terjejas ini seperti memulakan semula kehidupan baharu kerana banyak peralatan rumah rosak serta kenderaan yang turut rosak ekoran banjir ini. Jadi saya mengucapkan terima kasih kepada KWP, DBKL dan PPj yang bertungkus lumus membantu penduduk di sini,” ujarnya. -WILAYAHKU