KEPERLUAN perumahan dalam kalangan warga kota yang berpendapatan kecil dan sederhana terus menjadi keutamaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam usaha memenuhi keperluan tersebut.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, pihaknya sedang membina dua buah Rumah Majlis (Council Home) yang mengandungi 2,011 unit kediaman dengan kos berjumlah RM550 juta.
“Projek tersebut adalah Projek Perumahan Awam Council Home di Kampung Sungai Udang yang telah 99 peratus siap dan Projek Perumahan Awam Council Home di Jalan Siakap Cheras yang baru dilaksanakan kerja tanah,” katanya.
“DBKL akan memulakan pembinaan dua lagi projek Rumah Majlis (Council Home) yang mengandungi 2,000 unit kediaman dengan kos berjumlah RM388 juta melalui belanjawan 2022,” katanya ketika membentangkan Belanjawan DBKL 2022 hari ini.
Terdahulu, cadangan pembinaan council home dikemukakan oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada 2013 sebagai kemudahan penempatan buat golongan muda yang baru bekerja di Kuala Lumpur.
DBKL juga sedang mengkaji untuk menyewakan rumah tersebut secara sementara dalam tempoh tiga hingga lima tahun dengan pasangan baru berkahwin dan yang mempunyai anak kecil akan diberi keutamaan.
Menurut Mahadi, pihaknya turut memahami kehendak dan keperluan warga kota yang mahukan aktiviti riadah, rekreasi, kebudayaan dan pelancongan kembali dibuka kepada orang awam selari dengan keadaan endemik COVID-19.
“DBKL telah menyediakan peruntukan berjumlah RM32.87 juta di bawah program kebudayaan, kesenian dan sukan serta pelancongan dan antarabangsa serta telah mengaktifkan semula program Pagi Bebas Kenderaan Kuala Lumpur (KLCFM) dengan pengisian aktiviti seperti berlari/berjogging, berjalan, berkerusi roda, skateboard, kasut beroda, skuter bateri dan aktiviti berbasikal.
“Selain itu, program Senam Sihat akan diteruskan dengan penjenamaan baru iaitu KULFIT yang melibaikan semua lapisan warga kota khususnya pengunjung taman-taman di sekitar Kuala Lumpur.
“Taman-taman awam yang indah dan hijau boleh digunakan oleh semua warga kota secara percuma. Perkhidmatan terapi kuda untuk anak-anak autisme turut disediakan yang bertepatan dengan tema Belanjawan 2022, ‘Kuala Lumpur Milik Semua’,” katanya. – WILAYAHKU