Berita

‘Air sampah’ yang dirawat AFES selamat sebelum dialirkan ke sungai

SHAHIDAN (kiri) melihat akuarium yang diisi dengan air larut resap yang telah dirawat di Loji Rawatan, Stesen Pemindahan Alam Flora Enviromental Solutions (AFES) di Kepong pada Selasa.
- Diterbit 1 November 2021 3:42 AM MYT

AIR larut resap hasil dari sisa pepejal yang dirawat di Loji rawatan larut lesap di Stesen Pemindahan Alam Flora Enviromental Solutions (AFES) adalah bersih dan selamat sebelum ia dialirkan ke sungai.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, air larut resap yang terhasil itu juga melalui beberapa proses rawatan bagi memastikan ia bersih dan selamat dari pencemaran.

“Saya sudah melihat bagaimana air ‘leacheate’ ini dibersihkan sebelum ia disalurkan ke Sungai Jinjang dan seterusnya ke Sungai Gombak, Kuala Lumpur kerana di sana ada Projek Sungai Nadi Kehidupan
(RoL).

“Kita hendak pastikan air yang mengalir itu adalah bersih dan tidak menyebabkan pencemaran kepada sungai di Kuala Lumpur,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Stesen Pemindahan yang dikendalikan AFES di Kepong pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Seri Rosida Jaafar; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd, Datuk Mohd Zaib Hassan.

Jelas Shahidan, pihak AFES sudah menunjukan proses rawatan air larut resap dengan terperinci sehingga ia bersih dan selamat digunakan.

“Mereka menjalankan operasi rawatan terhadap air larut resap dan setelah diproses, air yang terakhir itu disalurkan ke dalam sebuah akuarium yang mengandungi ikan dan ia hidup dengan baik.”

Sementara itu, Mohd Zain berkata, proses yang dilaksanakan iaitu proses biologi dan kimia, berjaya menghasilkan air yang bersih serta boleh dialirkan ke sungai berhampiran.

“Sisa yang perlu dihantar ke pusat pelupusan sampah akan dimampatkan di sini, lebih 200 kenderaan pemadat (lori sampah) beroperasi di sekitar Kuala Lumpur. Kesemua sisa yang dimampatkan dimasukkan ke dalam kontena sebelum dihantar ke pusat pelupusan sampah di Bukit Tagar,” katanya . – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas