Berita

Sistem KLIS: Permohonan permit pembinaan mudah

SHAHIDAN (tengah) ketika melancarkan Sistem KLIS di ibu negara pada Rabu.
- Diterbit 1 November 2021 3:38 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperluaskan lagi penggunaan platform digital bagi permohonan permit pembinaan kecil atau B2 secara atas talian
(online).

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, menerusi agenda digitalisasi, DBKL telah menggunakan Sistem Kuala Lumpur Integrated Submission (KLIS) bagi memudahkan pihak Principal Submitting Person (PSP) mengemukakan permohonan berskala kecil kediaman kepada mereka.

“Inisiatif ini mula berkuatkuasa 1 Oktober lalu dan ia merupakan sistem online sepenuhnya atau ‘end-to-end’ (E2E) bagi pihak PSP mengemukakan permohonan permit pembinaan kecil secara kepada DBKL.

“Ia melibatkan keseluruhan proses mendapatkan kelulusan mengenai Perintah Pembangunan, Pelan Bangunan dan Pelan Kejuruteraan sehinggalah pendepositan CCC (Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan).

“Sistem ini bercirikan online submission, online processing, online payment, self-monitoring, paperless dan mobile friendly yang membolehkan permohonan dapat dikemukakan ke Urus setia Pusat Setempat, DBKL tanpa had masa dan di mana sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sistem KLIS di Perpustakaan Kuala Lumpur pada Rabu.

Katanya, sejak pemakaian Sistem KLIS ini, sebanyak 1,276 permohonan berskala kecil kediaman telah diterima dan diproses DBKL, 119 permohonan selesai urusan memperoleh CCC.

“Pusat Setempat (OSC) DBKL akan menerima permohonan Permit Pembinaan Kecil B2 ke atas pembangunan kediaman yang banyak iaitu purata 500-600 permohonan setahun.

“Proses mengemukaan permohonan, pemprosesan dan kelulusan akan dapat berjalan seperti biasa kerana semuanya adalah secara atas talian. Ia juga lebih selamat kerana urusan yang contactless dan paperless,” katanya.

Beliau berkata, melihat kepada keberkesanan sistem ini, DBKL sedang merancang untuk memperluaskan lagi penggunaan Sistem KLIS menjelang Jun 2022.

“Ia akan melibatkan permohonan kelulusan pembangunan di Kuala Lumpur yang merangkumi projek berskala sederhana dan besar dibuat secara online sepenuhnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Shahidan memberitahu, inisiatif perluasan Sistem KLIS memenuhi salah satu objektif pendigitalan kerajaan iaitu bagi meningkatkan jumlah ataupun peratus perkhidmatan secara dalam talian sepenuhnya dari mula hingga akhir, pada bila-bila masa dan di mana sahaja tanpa perlu bersemuka. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas