Berita

1,200 benih ikan siakap dilepaskan di Sungai Kina Benua

BASHIR (tiga dari kanan) menunjukan bungkusan plastik yang mengandungi benih ikan siakap untuk dilepaskan di perairan Sungai Kina Benua. BASHIR (tiga dari kanan) menunjukan bungkusan plastik yang mengandungi benih ikan siakap untuk dilepaskan di perairan Sungai Kina Benua.
- Diterbit 29 Ogos 2021 3:00 AM MYT

DALAM memastikan kelestarian sumber perikanan darat di Pulau Bebas Cukai ini terjamin, Jabatan Perikanan Labuan mengambil inisiatif melepaskan sebanyak 1,200 benih ikan siakap di Sungai Kina Benua.

Pengarahnya, Faizal Ibrahim Suhaili berkata, pelepasan benih ikan itu bertujuan untuk memulihara kelestarian sumber perikanan darat.

Katanya, dengan usaha yang dilaksanakan itu turut memberikan impak positif kepada para nelayan di Labuan kerana ia mampu meningkatkan sumber pendapatan mereka.

“Kita memilih Sungai Kina Benua disebabkan keadaan perairan di sini mempunyai ekosistem dan habitat yang sesuai dan ia terhindar dari unsur pencemaran terutamanya kawasan hulu sungai yang mana terdapat pelbagai aktiviti peladangan, perkilangan, perumahan dan sebagainya.

“Sebagaimana yang kita ketahui, Sungai Kina Benua ini adalah kawasan aktif dengan aktiviti penangkapan ikan dan ianya adalah tempat habitat pembiakan semula jadi,” katanya kepada pemberita di Majlis Pelepasan Benih Ikan Siakap di Sungai Kina Benua di sini yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias, pada Rabu lalu.

Sementara itu, Bashir menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Perikanan kerana melaksanakan program itu bagi memastikan kelestarian perairan darat terjaga.

“Ini adalah satu usaha untuk membantu nelayan-nelayan di sini kerana sebelum ini jumlah ikan yang ada di perairan Labuan semakin berkurangan. Dengan adanya inisiatif ini ianya mampu meningkat semula jumlah ikan di perairan di sini dengan melepaskan benih ikan,” katanya lagi. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas