Atlet Wilayah

Umar cabar diri ke PGA

UMAR (dua kiri) ketika menjuarai Faldo Series Malaysia di Johor Bharu. UMAR (dua kiri) ketika menjuarai Faldo Series Malaysia di Johor Bharu.
- Diterbit 29 Ogos 2021 2:00 AM MYT

DALAM mencipta kejayaan, bukan hanya perlu memberi perhatian terhadap isu teknikal semata-mata tetapi ia juga perlu disuntik dengan jalinan erat antara pemain melalui ‘team bonding’.

Dengan adanya masa berkualiti bersama, maka hubungan antara tim akan lebih mesra sekali gus mampu mewujudkan keserasian yang membawa kepada semangat utuh dalam sebuah pasukan.

Mengakui hal tersebut, atlet golf Wilayah Persekutuan, Umar Khushairi Muhd Kamal, 21, berkata, bertitik-tolak daripada semangat berpasukan, maka akan lahirlah suasana kasih sayang yang akhirnya mencipta kejayaan.

“Sebagai contoh, hubungan erat antara saya dan tim ketika SUKMA 2018 lalu berjaya membawa kejayaan yang mana pasukan kami membawa pulang pingat perak biarpun pada mulanya peluang untuk berjaya agak tipis.

“Ketika itu, kami semua tertekan, jadi jalan akhir yang ada untuk menghilangkan kekusutan adalah dengan berkumpul pada malam final tersebut. Waktu itu, kami luahkan apa semua yang terbuku di hati. Beri sokongan antara satu sama lain sehingga pada akhirnya kami sendiri tidak percaya mampu berjaya,” ceritanya.

Katanya, masa yang sering diluangkan bersama tim benar-benar membantu disaat semangat semakin pudar akibat tekanan mental dan fizikal lebih-lebih lagi ketika berlangsungnya kejohanan.

“Pada pendapat saya, sepatutnya pihak pengurusan perlu memandang lebih serius untuk merancang pelbagai siri team bonding kerana faktor psikologi amat penting untuk pemain lebih fokus,” ujarnya.

Berkongsi buah fikirannya, Umar memberitahu, atlet golf Wilayah Persekutuan juga memerlukan jurulatih kecergasan khas bagi memantau stamina mereka memandangkan sukan tersebut perlu memastikan atlet meningkatkan fleksibiliti.

“Bukan sahaja perlu memberi perhatian dalam bab pukulan tetapi atlet golf sendiri perlu kekal cergas kerana sepanjang bermain mereka juga melakukan pergerakan lain antaranya memusingkan badan,” ujarnya kepada Wilayahku.

Bercerita lanjut tentang sukan golf, anak bongsu daripada enam orang adik-beradik ini bercita-cita untuk melayakkan diri bermain di Professional Golf Association (PGA) pada masa akan datang.

“Saya tahu ia bukan mudah tetapi tidak mustahil. Kalau boleh saya mahu menjadi seorang pemain golf profesional suatu hari nanti,” ujar pelajar Ijazah Pengurusan Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) ini. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas