Berita

Sekolah bantu murid terkesan COVID-19

Majlis Bacaan Yassin, Tahlil, doa selamat serta penyerahan simbolik penyerahan kepada murid.
- Diterbit 8 Ogos 2021 2:00 AM MYT

USAHA Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara dalam mendekati warga sekolah khususnya murid-murid yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di sekolah ini haruslah diberi pujian.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Yusop Mohamad berkata, hal itu demikian kerana pendekatan “bantu dan sayang” yang dilakukan oleh pengurusan sekolah sekurang-kurangnya dapat meringankan masalah yang dihadapi oleh murid-murid.

“Sesungguhnya dedikasi, empati serta semangat yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat membuktikan bahawa kita semua peka dan mengambil berat terhadap masalah dan isu keperluan warga dan anak-anak didik SMK Mutiara pada masa ini. Seperti yang kita sedia maklum, di Pulau Labuan ini, kes aktif Covid-19 telah meningkat dengan pantas sekali sejak awal Mei hingga Jun dan secara tidak langsung menyumbang kepada kematian yang agak tinggi di Labuan,” katanya ketika merasmikan Program Ziarah Cakna Maya Perdana yang disiarkan menerusi Google Meet baru-baru ini.

“Masyarakat di sekeliling kita, termasuk anak-anak didik kita juga terlibat secara langsung dalam menghadapi permasalahan dalam kehidupan dan keluarga sepanjang pandemik ini. Tidak ketinggalan juga, ramai dalam kalangan murid kita yang telah kehilangan ibu dan bapa tersayang secara tidak diduga”, tambahnya lagi.

Menurut beliau, program itu sudah tentu akan memberi manfaat kepada kita semua dalam membantu meringankan beban anak-anak didik kita.

Inilah bukti jelas tentang usaha-usaha warga pendidik yang sentiasa komited dalam memastikan anak-anak kita semua mampu terus berusaha dalam pelajaran walaupun ada halangan dan ujian yang dihadapi oleh mereka.

Manakala Pengetua SMK Mutiara Yahya Ahmad Puteh  berkata, bahawa seramai empat orang murid di sekolah ini yang kehilangan ibu atau bapa yang disebabkan oleh pandemik Covid-19. Tiga daripadanya merupakan murid Tingkatan Lima manakala seorang murid pula merupakan murid Tingkatan Satu.

Justeru, pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua guru, PIBG dan komuniti yang membantu anak-anak murid ini supaya kita dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung serta dapat menyokong emosi mereka bahawa masih ada orang yang mengambil berat tentang diri murid.

“Kita akan sentiasa membudayakan amalan “bantu dan sayang” dalam mendekati murid kerana murid-murid ini dalam apa-apa jua keadaan perlu dibantu, disayangi dan diberi sokongan emosi apatah lagi ada dalam kalangan mereka ini yang akan menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia bagi tahun 2021,” katanya lagi.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad, Timbalan Pengarah Pendidikan Labuan, Norhani Yusof, Pemangku YDP SMK Mutiara, penolong-penolong kanan serta ibu bapa dan murid yang terlibat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas