Berita

‘Tarikh akhir’ pendaftaran vaksin dikaji – PM

- Diterbit 13 Jun 2021 10:00 AM MYT

KERAJAAN sedang mempertimbangkan kewajaran untuk mewujudkan ‘tarikh akhir’ pendaftaran program Imunisasi COVID- 19 Kebangsaan (PICK) bagi membolehkan pemberian vaksin dilakukan secara berfasa dan menyeluruh.

Turut memuji pelaksanaan sistem pemberian vaksin pada masa ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika tarikh akhir ditetapkan, kerajaan dapat membantu mendaftarkan baki rakyat sekali gus membolehkan semuanya disenaraikan di dalam sistem.

“Sekarang adalah secara ‘open ended’ dan ia adalah bagus. Tetapi sekiranya ada tarikh, katakanlah 1 Julai, mereka yang belum daftar, mesti mendaftar dan bakinya kita akan bantu.

“Semua akan ada dalam sistem dan kita boleh merancang fasa demi fasa sehinggalah semua yang selesai (mereka yang mendaftar),” katanya kepada pemberita selepas melawat klinik vaksinasi bergerak di Projek Perumahan Rakyat Seri Johor hari ini.

Mengulas tentang Pelan Pemulihan Negara pula, Muhyiddin memberitahu, dasar itu akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh seminggu akan datang sebagai persiapan untuk Malaysia keluar dari kemelut COVID-19.

Beliau berkata, ‘exit plan’ itu adalah bersandarkan data serta sains yang diperoleh dari sudut pengurusan pandemik, ekonomi dan vaksinasi negara.

“Menteri-menteri utama sudah duduk membentangkan perkara itu secara kasar kepada saya, pada dasarnya ia baik tetapi belum lagi diperhalusi. Tujuannya adalah supaya kita dapat maklumkan kepada rakyat setiap fasa sehingga usaha kerajaan dalam melandaikan jangkitan COVID-19 dan pemulihan semula ekonomi dilakukan.

“Menerusi pelan ini, kita tidak boleh melihat kepada satu sudut sahaja sebaliknya kita lihat kepada soal ekonomi kerana kita tidak mahu apabila COVID-19 selesai, ada yang tidak boleh makan, kerja tiada. Ini adalah masalah negara dan kebimbangan ini, kita perlu ambil kira,” jelasnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus memberikan komitmen untuk meningkatkan program vaksinasi negara meskipun jangkitan COVID-19 berjaya dilandaikan.

Beliau berkata, ia akan dilakukan menerusi penambahan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) di luar bandar dan kawasan penempatan rakyat.

“Sebelum ini vaksinasi dipertingkatkan dari 160,000 ke 180,000 ke 200,000 dan kita mahu ia ditingkatkan 300,000 hingga ke 400,000 sehari.

“Kita akan tambah PPV di kawasan PPR dan luar bandar, sama ada mereka berdaftar atau tidak,” tambah beliau yang turut yakin Wilayah Persekutuan akan mencapai imuniti kelompok lebih awal berbanding negeri lain iaitu seawal Ogos ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas