PRIHATIN terhadap nasib golongan B40 di Pulau Bebas Cukai itu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan, Perbadanan Labuan (PL) mengambil tindakan pantas dengan menyediakan sebanyak 1,000 bakul makanan untuk dihulurkan kepada golongan itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Fary Akmal Osman berkata, usaha itu dilaksanakan susulan daripada mesyuarat khas Jabatan-Jabatan Kerajaan bersama Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri TPr Annuar Musa pada Isnin lalu dalam usaha membantu warga Wilayah Persekutuan yang terkesan.
“Sumbangan bakul makanan ini merupakan makanan asas seperti beras, minyak masak, gula dan sebagainya akan diberikan kepada golongan B40 semasa pelaksanaan PKPD,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.
Dalam pada itu, Fary berkata aktiviti agihan bantuan bakul makanan itu akan diselaraskan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
“Permohonan bantuan kit makanan boleh dibuat melalui talian hotline 087-408758 bermula jam 9 pagi hingga 4 petang,” jelasnya.