Berita

Kertas siasatan Neelofa dan suami dihantar ke Pejabat Peguam Negara

- Diterbit 11 Mei 2021 11:12 AM MYT

POLIS telah menyerahkan kertas siasatan berkaitan selebriti Neelofa Mohd Noor dan suaminya Haris Ismail, berkaitan penularan video pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ke Pejabat Peguam Negara pagi tadi untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata kertas siasatan itu dihantar selepas pihak polis selesai melengkapkan siasatan kes berkenaan.

“Kertas siasatan sudah dihantar dan kita tunggu keputusan Pejabat Peguam Negara untuk arahan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Spekulasi berkaitan pelanggaran SOP PKPB pasangan itu tular di media sosial, apabila Neelofa dikatakan memuat naik gambar dan video berada di sebuah kedai karpet di Nilai pada 2 Mei dan keterangan mereka telah diambil selama empat jam di Ibu Pejabat Daerah Polis Nilai dua hari selepas itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas