POLIS menasihatkan orang awam agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah mempercayai individu yang menyamar dengan menggunakan gelaran “Datuk Seri” atau “Tan Sri” yang disyaki aktif memeras ugut di sekitar negeri ini.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata ini kerana terdapat individu yang mempunyai gelaran terbabit berselindung dengan aktiviti kebajikan berkaitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyumbang derma dan van jenazah bagi memastikan kegiatan jenayah mereka terlindung.
“Individu ini ibarat ‘Robin Hood’. Saya percaya banyak NGO ada kaitan dengan individu gelaran ini dan menjanjikan akan memberi itu ini dan polis juga sedang menyiasat sama ada kes berkenaan berkaitan dengan parti politik atau sebaliknya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Beliau berkata kes peras ugut terbaharu membabitkan dua lelaki termasuk seorang peniaga besi buruk bergelar ‘Datuk Seri’ berumur 56 tahun dan rakannya 41 tahun yang disyaki mengugut orang awam termasuk seorang pegawai polis berpangkat inspektor pada Februari lepas dan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Katanya berdasarkan siasatan, gelaran Datuk Seri salah seorang suspek itu dipercayai diterima daripada sebuah Kesultanan di Asia Tenggara dan gelaran berkenaan tidak diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia, dan dia beranggapan gelaran itu boleh melebarkan sayap untuk mengugut sertakan menjalankan aktiviti jenayah.
“Tidak kisah dia dapat gelaran itu daripada mana, dari Malaysia atau di mana sahaja, sama ada bergelar ‘Datuk Seri’ atau ‘Tan Sri’, jika terlibat dengan aktiviti jenayah kita akan tangkap, tidak akan ada yang terlepas.
Selain itu, hasil semakan juga mendapati Datuk Seri itu juga pernah dua kali dikenakan tindakan di bawah Ordinan Darurat, ditahan di Simpang Renggam dan Pulau Jerejak pada tahun 80-an dan 90-an,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua suspek dikenakan pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, dan Datuk Seri terbabit turut dikenakan satu lagi pertuduhan kerana mengugut pegawai polis yang menahannya di bawah seksyen sama.
Dalam perkembangan lain, Ayob Khan berkata polis memberkas 10 lelaki yang disyaki ahli kongsi gelap Geng 21 dalam serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini dan Kluang serta, Yong Peng, antara 2.30 pagi dan 3.30 pagi, 16 Jan lepas.
Katanya kesemua yang ditangkap menerusi Op Cantas itu berumur dari 29 tahun hingga 44 tahun dan masing-masing mempunyai rekod dalam kes pengedaran atau penyalahgunaan dadah serta jenayah kekerasan.
“Tangkapan ini menyelesaikan 14 kes jenayah kekerasan dengan lapan suspek dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), seorang suspek dituduh di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 kerana menganggotai kumpulan kongsi gelap, manakala seorang lagi bebas,” katanya.
Menurutnya, sejak 2018 sehingga kini polis Johor di bawah Op Cantas berjaya mengambil tindakan ke atas 39 ahli kumpulan kongsi gelap di bawah POCA dan antara kumpulan kongsi gelap terbabit Geng 21, Geng 04, Geng 36, Geng 24, Geng Jit It Hai, Geng Hong Hong San seta Geng Hup Hoe Tong. – BERNAMA