MENTERI Luar Itali Luigi Di Maio pada Isnin menghubungi rakan sejawatnya dari Republik Demokratik Congo (DRC), Marie Tumba Nzeza, berhubung insiden serangan terhadap konvoi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor Agensi Anadolu.
Kementerian Luar Itali mengesahkan dutanya Luca Attanasio dan seorang pegawai pengiring, Vittorio Iacovacci terkorban dalam kejadian itu.
Nzeza bersetuju untuk memberikan kerjasama penuh kepada badan kehakiman Itali untuk membolehkan siasatan terperinci dijalankan berhubung insiden itu.
Sementara itu, Jabatan Perdana Menteri Itali turut mengibarkan bendera separuh tiang.
Attanasio, 43, dan Iacovacci, 30, antara tiga yang terbunuh dalam serangan ke atas konvoi PBB di DRC pada Isnin itu.
Menurut sumber tempatan, konvoi itu diserang dalam satu cubaan menculik berhampiran Goma, ibu kota wilayah Kivu Utara di timur negara itu.
Turut maut dalam kejadian itu pemandu Program Makanan Dunia Congo (WFP) – yang namanya belum didedahkan. – BERNAMA