GELOMBANG ketiga banjir yang melanda Kelantan sejak 4 Jan lalu pulih sepenuhnya, selepas pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di jajahan Pasir Mas menamatkan operasinya petang ini.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Jajahan Pasir Mas Azizan Aziz berkata, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh yang menempatkan 32 orang, ditutup pada 6 petang ini.
“Alhamdulillah, kesemua mangsa yang terjejas telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing sekitar 6 petang tadi, berikutan keadaan cuaca baik dan tiada hujan sejak beberapa hari lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Sementara itu, portal infobanjir.water.gov.my, setakat 6 petang ini Sungai Golok di Kuala Jambu masih mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya, iaitu 2.52 meter (bahaya 2.50 meter). – BERNAMA