Berita

Anwar minta semua Ahli Parlimen utus warkah kepada Agong batal darurat

- Diterbit 14 Januari 2021 11:07 AM MYT

KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen meminta mereka mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk merayu baginda membatalkan Pengisytiharan Darurat dan membolehkan persidangan Parlimen diadakan dengan kadar segera..

“Semoga warkah ini nanti mendapat ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik Pengisytiharan Darurat dan seterusnya menitahkan agar sidang Parlimen harus diadakan dalam kadar segera sebelum 31 Jan 2021 untuk membahaskan isu darurat, COVID-19 dan kemelut ekonomi yang melanda negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19..

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas darurat pada hari sama menjelaskan bahawa Jemaah Menteri telah menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara menurut Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan berkuatkuasa mulai 11 Jan, 2021 hingga 1 Ogos 2021.

Perkara 150 (1) itu antara lainnya memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat jika baginda berpuas hati suatu darurat besar sedang berlaku menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam persekutuan sedang terancam.

Ancaman pandemik COVID-19 kini menjadi ancaman besar terhadap kehidupan ekonomi rakyat di negara ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas