Fokus

Beg sekolah Fazzie Craft dapat permintaan tinggi

FAZILA bersama beberapa beg yang dihasilkannya mengikut permintaan pelanggan. FAZILA bersama beberapa beg yang dihasilkannya mengikut permintaan pelanggan.
- Diterbit 13 Disember 2020 7:39 AM MYT

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Begitulah perumpamaan yang sesuai digambarkan kepada Fazila Mohammad Wasit, 45, yang kini berjaya menjana pendapatan menerusi penghasilan beg dan kraftangan.

Beliau yang juga seorang guru Pendidikan Islam Tahap 1 di Sekolah Kebangsaan Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor memberitahu, kraftangan dan beg yang dihasilkan di bawah jenama ‘Fazzie Craft’ adalah sekadar mengisi masa lapang.

Justeru, beliau tidak menyangka beg yang dihasilkan akan mendapat permintaan tinggi terutama jenis ‘tote’ dan ‘sling’.

Malah, katanya, antara beg yang berjaya dihasilkan atas permintaan pelanggan adalah beg tangan, beg sekolah dan ‘clutch’.

Ujarnya, sempena sesi persekolahan yang bakal berlangsung awal tahun hadapan, permintaan terhadap beg sekolah melonjak naik.

“Mulanya, saya sekadar mengisi masa lapang selepas menghabiskan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam Sekolah Rendah di Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

“Tetapi sejak tiga tahun lepas, saya mula fokus dan mengambil tempahan,” katanya yang juga ibu kepada empat orang cahaya mata.

Menurut Fazila, dia tidak mempunyai masalah untuk menjahit secara manual mahupun mesin kerana ibunya merupakan ‘tukang jahit’.

Ujarnya, dengan asas yang ada, dia mempelajari selok-belok menghasilkan beberapa jenis beg dan kraftangan daripada Youtube selain turut melayari beberapa video yang dimuat naik di media sosial.

Malah, dengan kemahiran yang ada, Fazila mampu menghasilkan sekurangkurangnya empat buah beg pelbagai jenis dalam tempoh dua hari.

Lebih menarik apabila, beg yang dihasilkan tetap kemas, cantik dan teliti walaupun dibuat
dalam tempoh yang singkat.

“Saya buat waktu malam dan pagi kerana perlu mengajar pada waktu petang. Disebabkan
kekangan waktu dan permintaan yang banyak, saya tidak dapat menyediakan ‘stok’ untuk dibeli secara terus,” katanya.

Tambah beliau, harga bagi setiap beg adalah antara RM30 hingga RM70 yang mana ia mengikut saiz dan jenis.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas