Berita

“Tidak Sedar Air Naik Paras Katil” – KEITH FOO Bantu Mangsa Banjir

|KEITH Foo seronok dapat membantu Mangsa banjir di negeri kelahirannya.||
- Diterbit 8 Disember 2020 11:16 PM MYT

MULIA sungguh hati pelakon kacak Keith Foo apabila terlibat dalam misi kemanusiaan dan amal baru-baru ini di Negeri Sembilan.

Berpeluang menghulurkan bantuan bersama St John Ambulans Malaysia cawangan Negeri Sembilan (SJAMNS), pelakon drama Ariana Rose berkesempatan menghulurkan bantuan kecemasan dan kebajikan kepada sebahagian mangsa banjir yang melanda di sana.

KEITH Foo seronok dapat membantu Mangsa banjir di negeri kelahirannya.

Kata duta produk suplemen kesihatan Crystal C White itu, itu bukan misi pertama dijayakannya.

“Sudah banyak kali saya turut serta dalam misi seumpama ini. Cuma sejak menyertai SJAMNS awal tahun lalu pembabitan saya lebih kerap tertumpu di negeri berkenaan.

“Antaranya dalam program derma darah, kesedaran  Bantuan Pernafasan Kecemasan (CPR), perkhidmatan ambulans sempena hari perayaan, pengedaran peralatan perlindungan diri (PPE) ke hospital dan klinik.

“Yang terbaru ini saya menghulurkan bantuan makanan kepada keluarga 55 ahli keluarga yang terjejas teruk akibat banjir melanda di Seremban. Hati saya tersentuh ketika itu. Ada golongan tua yang terlantar dan uzur terkesan dengan ujian itu,” katanya yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan.

Menurut bapa tunggal kepada si comel Skylar Raymond Foo itu ada keluarga dan individu yang terjejas teruk.

“Bayangkan saat berdepan dengan pandemik, kemudian tanpa diduga air bah yang datang menguji lagi keteguhan hati mereka.

“Harta benda, kereta dan pelbagai lagi rosak teruk dek banjir hingga sukar untuk diperbaiki. Saya dimaklumkan banjir baru baru ini pada waktu malam mencecah ketinggian dua meter.

“Ada antara mereka yang tidak sedar  air naik sampai paras katil. Ada yang terperangkap hingga perlu diselamatkan pihak bantuan,” katanya.

Keith juga meluahkan rasa bersyukur apabila jenama produk yang melantiknya sebagai duta itu banyak menyumbangkan derma  sekali gus menyokong kerja amal ini.

“Saya bersyukur orang kuat produk itu, Leinaa dan Reena tak berkira dalam soal menderma. Sumbangan ikhlas mereka amat saya hargai.

“Tak lupa SJAMNS yang membuka ruang saya berkhidmat untuk masyarakat,” katanya.

Pasal kerjaya, Keith baru saja selesai menjalani penggambaran beberapa buah telefilem dan drama. Antara judulnya seperti Dia Bukan Bidadari dan WiFi Sebelah Rumah.

Keith juga turut membintangi drama KL Gangster Underworld musim kedua yang akan bersiaran di platform WeTV bermula 10 Disember ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas