Berita

Mat Don sah pemain naturalisasi kedua Harimau Malaya

LIRIDON kini bersama pasukan JDT FC.
- Diterbit 8 Mei 2020 2:21 PM MYT

KUALA LUMPUR – Liridon Krasniqi atau lebih dikenali sebagai Mat Don kini sah bergelar pemain naturalisasi kedua negara dan berpeluang menyarung jersi keramat skuad Harimau Malaya.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam memaklumkan pihaknya sudah mendapat surat kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkaitan perkara ini.

“Memang kalau diikutkan perlawanan dengan UAE (Emiriah Arab Bersatu) dia (Liridon) sudah boleh main, tapi FIFA tak boleh keluarkan surat selagi dia tidak memenuhi syarat lima tahun (beraksi di Malaysia).

“Dia cukup syarat lima tahun pada 25 Mac lalu dan perlawanan kita berdepan UAE sepatutnya pada 26 Mac lalu selepas penangguhan aksi kelayakan Piala Dunia, (FIFA) keluarkan surat,” ujarnya.

Liridon merupakan pemain kelahiran Kosovo sudah mendapat taraf kewarganegaraan melalui penaturalisasian selepas menerima Mykad di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya, Februari lalu.

Dia kini boleh dipanggil menyertai skuad kebangsaan namun pemilihannya bergantung kepada perancangan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe dan juga prestasi semasanya.

Stuart bagaimanapun turut mengesahkan masih belum mendapat perkembangan daripada FIFA mengenai permohonan seorang lagi bakal pemain naturalisasi, Guilherme De Paula. WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas