Berita

Perbadanan Putrajaya beri pengecualian enam bulan bayar sewa

SUASANA di Kiosk@11, Presint 11 yang baru dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad padi tadi. Foto NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 8 Mei 2020 2:15 PM MYT

PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya (PPj) sememangnya sudah merancang untuk memberi pengecualian sewaan bagi premis-premis seliaannya selama enam bulan selaras dengan tempoh yang sama diberi kepada premis milik Kerajaan Persekutuan.

Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Datuk Azizi Ahmad Termizi berkata, selain bulan Mac dan April yang telah diumumkan terdahulu, PPj akan memberi pengecualian sewa bulan Mei, Jun, Julai dan Ogos 2020 bagi premis-premis berkelayakan dan terjejas akibat  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19.

AZIZI

“Untuk makluman, PPj perlu melalui proses kelulusan melalui mesyuarat yang tertangguh kerana PKP.

“Mesyuarat yang dijadualkan pada pagi hari ini telah meluluskan pengecualian sewaan tersebut,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini

Terdahulu Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya bersama para peniaga di Kompleks Kejiranan Presint 11 di sini menuntut pengecualian sewa kedai dan kiosk yang dikenakan kepada mereka oleh pihak PPj untuk tempoh enam bulan.

Sebelum ini para peniaga telah diberi  pengecualian bayaran sewa selama dua bulan iaitu Mac dan April.

Kadar sewaan kedai adalah sebanyak RM3,000 sebulan manakala kiosk dikenakan bayaran RM1,200 sebulan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas