PUTRAJAYA – Kerajaan mempunyai dua mekanisme dalam mengawal peningkatan positif Covid-19 terutamanya di zon merah sama ada menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran dahulu sebelum PKP Diperketatkan (PKPD).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sentiasa memantau perkembangan setiap hari berhubung kes positif Covid-19 di negara ini.
Katanya, ini termasuk zon Petaling yang sebelum ini dikategorikan jingga menjadi merah semula.
“Tumpuan kita kawasan bersasar. Dari dulu pun Petaling dianggap kawasan merah disebabkan dua kawasan di dalam zon tersebut iaitu Sri Petaling dan Lembah Pantai.
“Kita akan mengenal pasti kawasan serta kluster dan jika kesnya naik mendadak akan dilakukan PKP secara pentadbiran sebelum PKPD,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri menjelaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) walaupun sekatan jalan raya telah berkurangan.
“Fokus sekarang adalah pematuhan prosedur standard operasi (SOP) PKP dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342),” ujarnya. – WILAYAHKU