KAWASAN di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur telah diisytiharkan sebagai kawasan keenam yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula 20 April hingga 3 Mei ini.
Tinjauan Wilayahku mendapati kawasan yang kebiasaannya sesak dengan lori membawa muatan barangan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, dan hasil laut berubah apabila dipenuhi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membuat kawalan ketat di laluan keluar dan masuk kawasan itu.
Difahamkan, anggota ATM dari Briged 12, Kem Wardiburn, Kuala Lumpur memasang kawad ‘razor barbed wire’ di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur dan Taman Seri Murni yang mengambil masa kira-kira tiga jam.
Beberapa buah lori yang ingin keluar dan masuk turut diperiksa dengan ketat dan dikehendaki mengemukakan dokumen berkaitan.
Beberapa khemah telah didirikan oleh pihak KKM di blok A dan B serta sebuah khemah di Taman Seri Murni untuk petugas kesihatan menjalankan ujian saringan terhadap penduduk di sekitar kawasan itu.
Beberapa individu yang baru pulang dan menetap di kawasan itu diperiksa dengan ketat sebelum mereka di arah beredar ke kediaman masing-masing.
Warga asing yang kebanyakannya adalah dari kaum Rohingya menjadikan kawasan itu sebagai penempatan mereka dilihat hanya meninjau keluar dari rumah masing-masing kerana pihak berkuasa melakukan rondaan bagi tujuan pematuhan PKPD. – WILAYAHKU










