Berita

169 pesakit Covid-19 pulih, rekod satu kematian

KESUNGGUHAN petugas barisan hadapan membuahkan hasil apabila ramai pesakit Covid-19 berjaya pulih. Gambar hiasan
- Diterbit 15 April 2020 11:54 AM MYT

PUTRAJAYA – Seramai 169 pesakit Covid-19 yang pulih dan dibenarkan keluar daripada wad hari ini sekali gus menyaksikan jumlahnya dua kali ganda lebih tinggi berbanding 85 kes baharu dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 2,647 kes atau 52.2 peratus.

“Kes baharu pula mencatatkan 5,072 kes. Seramai 56 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 32 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat satu kes kematian dan menjadikan jumlah kumulatif 83 kes.

“Kes kematian ke-83 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas