Berita

LLSB anjur pertandingan demi kebersihan Sungai Klang

- Diterbit 11 April 2020 3:35 PM MYT

PUTRAJAYA – Syarikat Landasan Lumayan Sdn. Bhd. (LLSB) menganjurkan pertandingan komik ‘SMG Water You Doing?’ bagi menguji bakat artistik rakyat Malaysia yang terpaksa berada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin berkata, tujuan utama cabaran tersebut adalah untuk melaksanakan projek bagi memberi nafas baru kepada Sungai Klang.

Jelasnya, dalam pertandingan itu, peserta diminta untuk berkongsi pendapat berdasarkan salah satu daripada tiga subjek yang ditetapkan iaitu Hentikan Pencemaran Sungai, Jadilah Penjaga Sungai atau Sungai Bersih serta Masa Depan Kita.

“Peraduan ini menyeru orang ramai menggunakan masa lapang sepanjang tempoh PKP untuk berfikir mengenai keadaan sungai dan menunjukkan cara bagaimana mampu lebih bertanggungjawab ke atas penjagaan sungai untuk masa depan yang lebih baik.

“Sejak bulan lepas, terdapat peningkatan sampah jenis baru di dalam sungai antaranya topeng muka, sarung tangan pakai buang dan botol sanitiser kecil selain sampah lazim seperti bahan pembungkusan makanan pakai-buang, kotak minuman dan botol plastik,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Syaiful Azmen, walaupun barang-barang terbuang yang baharu itu dianggap perlu untuk keselamatan peribadi dan kebersihan seperti yang dinasihati Kementerian Kesihatan (KKM), rakyat sepatutnya mengamalkan kaedah pelupusan yang betul.

Ini kerana katanya, barangan tersebut perlu dibuang ke dalam tong sampah dan tidak dibuang merata-rata yang mana ia boleh tercampak ke dalam longkang dan akhirnya mengalir ke dalam sungai, lalu menyumbang kepada pencemaran sungai.

Sehubungan itu, ujarnya, Peraduan ‘SMG Water You Doing?’ berharap dapat mengingatkan orang ramai tentang kepentingan menjaga sungai di samping menjaga keselamatan diri.

Tambahnya, peraduan tersebut hanya memerlukan peserta berkongsi komik mereka di akaun instagram masing-masing bersama hashtag ‘#SMGWaterYouDoing’ sebelum 22 April ini.

“Penyertaan boleh dibuat secara lukisan tangan atau digital dalam satu hingga lima kotak panel, sama ada berwarna atau hitam dan putih.

“LLSB akan memberi ganjaran bagi komik yang paling popular berupa hadiah wang tunai sebanyak RM2,000 untuk tempat pertama; RM1,000 untuk tempat kedua dan RM500 untuk tempat ketiga di samping hadiah saguhati sebanyak RM100 seorang. Untuk terma dan syarat, sila layari https://www.selangormaritimegateway.com/announcements/ dan
https://www.instagram.com/p/B-bJYnkHPeV/,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas