Berita

Makcik Kiah 19 bantu petugas kesihatan

Robot penghantaran pertama buatan Malaysia untuk kegunaan di hospital
INILAH prototaip robot Makcik Kiah 19.
- Diterbit 11 April 2020 3:06 PM MYT

KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bakal memperkenal robot yang diberi nama ‘Makcik Kiah 19’ untuk membantu petugas kesihatan.

MOSTI dalam laman di Facebooknya menyatakan, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir telah telah membuat kunjungan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) bagi melihat sesi demonstrasi prototaip teknologi robotik yang dibangunkan syarikat tempatan, DF Automation & Robotics Sdn. Bhd semalam.

Robot yang diberi nama “Makcik Kiah 19” (MCK19) atau akronim K.I.A.H. – Key Innovations Assisting Healthcare ini adalah robot penghantaran pertama buatan Malaysia untuk kegunaan di hospital.

“Ia direka bagi mengurangkan pendedahan petugas barisan hadapan penjagaan kesihatan dalam memberikan khidmat kepada pesakit Covid-19.

“Robot ini juga merupakan Internet of Things (IoT) yang boleh diakses melalui komputer, tablet atau telefon pintar yang membolehkan pengguna berinteraksi dengan robot walaupun berada di luar kawasan hospital.

“Selain itu, ia turut dilengkapi sistem keselamatan yang hanya boleh diakses oleh admin yang dibenarkan,” katanya.

Prototaip yang mengambil masa kurang daripada dua minggu itu merupakan hasil usahasama MOSTI dengan beberapa agensi termasuklah, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC); HCTM; DF Automation & Robotics Sdn Bhd (DF); Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Kementerian Kesihatan (KKM) dan turut melibatkan hospital dan industri berkaitan.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas