SAMA seperti tahun-tahun sebelumnya, setiap kali menghampiri bulan Ramadan penyanyi dan komposer terkenal Hafiz Hamidun mengambil kesempatan untuk menjual baju raya seperti kurta dan sebagainya.
Namun disebabkan penularan jangkitan penyakit wabak Covid-19, Hafiz mengakui ia turut memberi kesan kepada perniagaannya.
“Sepatutnya stok baju raya sampai pada bulan Januari lalu namun sehingga kini masih belum diterima lagi. Kebiasaanya waktu ini kita sudah pun mula membuat promosi, membuka gerai pameran dan sebagainya.
“Pun begitu, setakat ini saya masih lagi menanti. Jika ada Alhamdulillah andai sebaliknya, saya redha,” ujarnya.
Sempat berpesan kepada masyarakat Malaysia agar tidak panik dengan isu ini, kata Hafiz setiap individu perlu lebih berhati-hati dan patuh pada saranan kerajaan serta mengikuti langkah-langkah pencegahan yang sepatutnya.
“Jangan mementingkan diri sendiri. Kedegilan diri kita akan menyusahkan orang lain,” ujar Hafiz kepada Wilayahku. – WILAYAHKU