Berita

Beraksi di All England pengalaman berharga – Zii Jia

ZII JIA mampu melakar banyak kejayaan pada masa depan.
- Diterbit 15 Mac 2020 2:27 PM MYT

KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menyifatkan penampilannya di Seluruh England adalah pengalaman yang cukup berharga.

Meskipun tumpas kepada Viktor Axelsen di peringkat separuh akhir semalam, kemaraan Zii Jia cukup bermakna memandangkan pemain berkenaan mampu menewaskan bintang utama dunia, Chen Long dari China di peringkat suku akhir.

“Secara keseluruhan ia menjadi pengalaman berharga buat saya walaupun saya tewas di peringkat separuh akhir.

“Kami sudah beraksi dan memberikan saingan sengit sesama sendiri, namun dalam perlawanan seperti ini sesiapa saja berhak untuk menang,” kata Zii Jia ketika diminta mengulas mengenai prestasi keseluruhan dirinya di Arena Birmingham.

Dalam pada itu, Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-13 dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menegaskan, dia perlu sentiasa fokus selain mengekalkan momentum permainan selepas ini.

“Saya perlu terus bergerak ke depan, mempersiapkan diri supaya lebih bertenang pada saat getir dalam mana-mana perlawanan,” katanya.

Zii Jia yang beraksi buat pertama kali dalam Seluruh England menampilkan prestasi meyakinkan malah dilihat berada dalam laluan tepat menjadi pengganti kepada legenda negara, Datuk Lee Chong Wei.

Pemain ini hampir berjaya menumbangkan Axelsen dalam set penentuan peringkat separuh akhir Seluruh England semalam, namun ternyata tuah lebih memihak lawan dari Denmark yang menghuni ranking ke-7 dunia.

Pertarungan tiga set yang berlangsung selama 1 jam 13 minit itu dimenangi Axelsen yang juga pilihan kedua kejohanan dengan keputusan 17-21, 21-13, 21-19.

Tumpuan peminat badminton dunia terarah kepada Zii Jia, 21, selepas dia mengetepikan bekas pemain nombor satu dunia yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio, Brazil 2016, Chen Long, 21-12, 21-18 pada pusingan suku akhir.

Sebelum itu, laluan Zii Jia tampak sempurna apabila mengetepikan Lu Guang Zu dari China dengan keputusan 21-10, 21-16 (pusingan kedua), selain melakar kemenangan terhadap Jonatan Christie dari Indonesia, 21-15, 21-13 (pusingan pertama). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas