KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) kini bersiap sedia menghadapi musim Liga Malaysia 2020 dengan memperkenalkan barisan pemainnya pada Majlis Pelancaran dan Pengenalan Pasukan di pusat beli belah Pavilion di sini hari ini.
Majlis yang disempurnakan oleh Presiden KLFA, Khalid Abd. Samad itu turut memperkenalkan jersi baharu bagi skuad Liga Premier 2020, Piala Presiden dan Piala Belia.
Khalid dalam ucapannya menegaskan, indeks petunjuk prestasi (KPI) utama yang diletakkannya adalah untuk membawa kembali Kuala Lumpur ke saingan Liga Super pada tahun 2021.
“Saya mahu memastikan zaman kegemilangan KLFA dapat dikembalikan dan dalam masa sama mewujudkan pengurusan dan pasukan yang hebat dalam arena bola sepak tempatan.
“Saya juga menyasarkan pasukan KLFA berada dalam kedudukan dua tempat teratas Liga Perdana dalam saingan musim ini yang akan bermula 29 Februari ini,” katanya.
Hadir sama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan. – WILAYAHKU