Berita

Guna demokrasi secara berkesan

KEBEBASAN bersuara lebih dirasai selepas Pakatan Harapan menerajui kerajaan pasca PRU-14. - Gambar hiasan.
- Diterbit 22 Februari 2020 4:24 AM MYT

BANYAK orang tidak menyedari atau mempedulikan apatah lagi memahami konsep demokrasi walaupun mereka hidup di dalamnya.

Tanpa menyedari mengenai konsep demokrasi mengakibatkan seseorang itu mempunyai pemahaman yang tidak tepat mengenai bagaimana kerajaan beroperasi.

Ekoran itu, mereka akan sentiasa marah terhadap kerajaan kerana tidak memenuhi kehendak mereka. Pada waktu lain pula, mereka berasakan putus harap untuk menghasilkan perubahan baik bagi kehidupan seharian.

Sedangkan demokrasi itu bermaksud pemerintahan oleh rakyat. Demo adalah rakyat dan krasi adalah pemerintahan.

Untuk menyedari mengenai demokrasi, seseorang mesti memahami apa itu pemerintahan dan apa itu rakyat.

Pemerintahan bermaksud kekuasaan yang mana seseorang itu perlu hidup dalam masyarakat. Kekuasaan ada dalam tiga bentuk. Pertama, undang-undang. Kedua, penguatkuasaan dan ketiga, amalan yang diterima dalam masyarakat.

Undang-undang bertulis adalah jelas walaupun banyak daripadanya tidak disedari oleh warga. Daripada perlembagaan, hinggalah kepada akta-akta dan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan. Tetapi undang-undang hanya ada dalam dokumen jika ia tidak dikuatkuasakan.

Sementara itu, penguatkuasaan pula dilakukan oleh jentera kerajaan atau pentadbiran. Banyak perkara dalam undang-undang tidak akan dapat dikuatkuasakan.

Sebagai contoh, pembuangan sampah merata-rata adalah suatu kesalahan yang dicatat dalam undang-undang. Ia boleh dikuatkuasakan.

Tetapi penguatkuasaan tidak dapat dilakukan sepenuhnya kerana petugas pihak berkuasa tempatan tidak akan pernah mencukupi. Maka akhirnya nilai kebersihan itu bergantung pada penerimaan dan amalan anggota masyarakat.

Rakyat

Demokrasi pula meletakkan supaya undangundang digubal oleh rakyat sendiri melalui wakil-wakil mereka. Baik di peringkat Persekutuan, mahupun sampai pada pihak berkuasa tempatan.

Rakyat terbahagi pada tiga. Pertama, wakil rakyat, anggota kerajaan dan kakitangan kerajaan. Kedua, warga negara dan warga kota. Ketiga, penduduk yang lain.

Semua jenis rakyat itu mempunyai kuasa dan peranan tertentu dalam sistem demokrasi.

Sebagai contoh, wakil rakyat Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada Ahli Dewan Rakyat dipilih oleh para pengundi yang terdiri daripada warganegara yang berdaftar dan mengundi.

Kekuasaan mereka adalah lima tahun sekali untuk menentukan wakil. Wilayah Persekutuan terletak di bawah kerajaan Persekutuan yang ditubuhkan melalui Parlimen. Kerajaan Persekutuan dipimpin oleh Perdana Menteri yang menubuhkan Kabinet dan seorang menteri diperuntukkan bagi Wilayah Persekutuan.

Maka Kementerian Wilayah Persekutuan mempunyai jentera kerajaan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan termasuk para penguat kuasa.

Maka seluruh Wilayah Persekutuan diselenggarakan oleh pelbagai kementerian menurut ruang kuasa dan tugas masing-masing.

Bagaimanapun, kuasa rakyat bukan setakat menjadi pengundi yang memilih wakilwakil mereka.

Aktif

Dalam hal ini, kunci katanya ialah aktif. Bila disebut aktif, tentu difikirkan tentang peranan sukarela seseorang warga melalui pertubuhanpertubuhan bukan kerajaan (NGO). Tetapi tidaklah semestinya seperti begitu. Tidak semua orang boleh aktif, apatah lagi melibatkan diri dalam apa-apa NGO.

Namun hampir semua penduduk mempunyai hubungan dengan sesuatu badan mengikut kemampuannya. Sememangnya apa yang terbaik ialah penyertaan seseorang di dalam parti politik.

Namun bagi mereka yang tidak terlibat dengan parti politik, demokrasi tetap memberi ruang untuk penglibatan seseorang mengikut hubungan mereka dengan badan lain. Daripada persatuan-persatuan penduduk sampailah pada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Justeru antara azam Malaysia Baharu adalah menerapkan nilai-nilai demokrasi untuk meraih kesannya.

Daripada kesatuankesatuan sekerja sampailah surau dan masjid yang mana seseorang menjadi ahli kariah. Sistem demokrasi mempunyai tiga cabang, penggubal undang-undang, pelaksana undang-undang dan penterjemah undang-undang. Tetapi ada satu institusi yang merupakan tonggak demokrasi. Ia adalah media. Dan di atasnya ialah kebebasan bersuara.

Di atas kebebasan bersuara ialah kebebasan berfikir. Tetapi kebebasan ini bukanlah mutlak.

Kebebasan berfikir mestilah berasaskan fakta dan bukannya kepalsuan.

Kebebasan bersuara bukanlah bermakna menyebarkan fitnah dan berita palsu.

Sebelum adanya Internet, suara rakyat disalurkan oleh wakil-wakil suaranya iaitu wartawan. Akhbar menjadi penyambung lidah rakyat, begitu juga radio dan televisyen.

Walaupun kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan berusaha untuk menguasai media, tetapi demokrasi menuntut supaya media menjadi bebas dan kesetiaannya adalah pada rakyat secara keseluruhannya.

Tetapi kini, dalam zaman Internet ini, media sosial sudah terbuka pada sesiapa saja. Ia bukan bermakna wartawan sudah kehilangan peranan dan tanggungjawab.

Wartawan tetap mempunyai peranan tradisional tetapi ia sudah berubah dan berbeza kerana orang bukan wartawan boleh menyalurkan pandangannya secara terus melalui media sosial.

Maka kini, kalau seseorang tidak dapat aktif melalui NGO atau institusi, mereka tetap boleh berperanan melalui media sosial. Tetapi untuk itu, rakyat kini, tidak seperti dahulu adalah perlu lebih bertanggungjawab untuk berperanan secara berkesan dalam demokrasi.

Jadi sama ada sesuatu demokrasi berjaya atau tidak, akhirnya ia berbalik pada anggota-anggota masyarakat. Tentunya masyarakat perlukan pimpinan.

Tetapi ia juga memerlukan pendidikan awam terhadap demokrasi. Untuk ini, ia juga perlukan aktivis, aktiviti dan juga NGO.

Persekutuan Tanah Melayu telah dari awal lagi memilih kaedah demokrasi untuk pemerintahannya. Tetapi dalam sejarahnya, banyak perkara yang tidak menepati nilai-nilai demokrasi.

Akibatnya, demokrasi yang diamalkan tidak berkesan sepenuhnya untuk memberikan manfaat kepada rakyat.

Apa yang telah berlaku sepanjang 60 tahun lalu banyak yang tidak menepati demokrasi. Akibatnya mereka akan terus mengeluh, merungut dan marah kerana kehendak mereka tidak tercapai.

Justeru antara azam Malaysia Baharu adalah menerapkan nilai-nilai demokrasi untuk meraih kesannya.

Zin Mahmud merupakan wartawan veteran yang telah berkhidmat lebih 30 tahun dalam industri persuratkhabaran, majalah dan buku. Pernah menjadi Pengarang Mingguan Malaysia, Pengarang Kumpulan Harakah dan Pengarang Berita Harian Watan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas