Berita

Jangan ambil mudah tiada lampu brek

LAMPU brek yang sepatutnya memudahkan penglihatan pengguna jalan raya di belakang tidak kelihatan akibat cermin gelap
- Diterbit 31 Januari 2020 7:22 AM MYT

LABUAN – Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan (JPJ WP) Labuan memperketatkan penguatkuasaan bagi kesalahan teknikal khususnya lampu brek dan cermin gelap semasa Operasi Khas Motosikal dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina 2020 baru-baru ini.

Dalam tempoh lima hari pelaksanaan operasi yang berlangsung bermula 18 Januari hingga 2 Februari itu, 37 kesalahan teknikal dengan 94 notis direkodkan.

Pengarahnya, Mohammad Afdhal Mohd. Ruslan berkata, daripada 578 kenderaan yang diperiksa, 67 kes adalah kesalahan teknikal manakala 20 berkaitan perlesenan pemandu dan tujuh perlesenan kenderaan.

Tegas beliau, mengikut pecahan kes, 18 kesalahan yang direkodkan adalah lampu brek gagal berfungsi manakala cermin gelap (13 kes), nombor pendaftaran (5 kes) dan ubah suai (1 kes).

“Kita fokus pada kesalahan berkaitan lampu brek kerana ia adalah antara komponen yang penting pada kenderaan.

“Kesan lampu brek gagal berfungsi ini boleh mengakibatkan kemalangan dari arah belakang. Lampu brek memang dilihat elemen yang kecil tetapi memainkan peranan penting sebagai method berkomunikasi dengan kenderaan di belakang,” ujarnya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Tegas Mohammad Afdhal, situasi ketika brek mengejut juga akan menyebabkan berlakunya impak pelanggaran dari belakang yang kuat sehingga boleh mengakibatkan risiko kecederaan parah atau maut.

Jelas beliau, walaupun lampu brek penting, tetapi masih ramai yang mengabaikannya malah kebanyakan pengguna jalan raya tidak sedar lampu brek kenderaan mereka gagal berfungsi seperti lori muatan berat.

Terdahulu, operasi tersebut dijalankan secara kolaboratif dengan agensi penguat kuasa seperti polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Jabatan Imigresen.

Turut serta, 12 Ahli Kadet JPJ dan lima guru pengiring daripada empat buah sekolah.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas